• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tokoh-tokoh agama dalam politik perlu fahami amanah Allah

KERUNTUHAN akhlak muda mudi dan kegiatan jenayah di kalangan remaja mempunyai hubung kait dengan suasana dan kestabilan negara sama ada berkaitan dengan politik, ekonomi dan sosial. Masyarakat dalam era globalisasi lebih menumpukan perhatian kepada kuasa, kedudukan dan kebendaan serta kebebasan hidup yang tidak berlandaskan kepada tradisi agama dan budaya. Suasana begini jelas kelihatan dalam negara masa kini.

Masyarakat Islam negara ini kini lebih mengutamakan perjuangan politik sehingga mengabaikan kegiatan yang boleh memantapkan pemikiran dan jiwa remaja. Hala tuju perjuangan politik semakin hari kian kabur.

Tokoh-tokoh agama yang terlibat dalam kegiatan politik diharapkan dapat membimbing remaja ke arah kerohanian. Pucuk pimpinan negara memilih mereka menerajui hal ehwal keagamaan kerana mereka percaya bahawa golongan ini mampu untuk memulih dan memperbaiki jiwa remaja dan masyarakat.

Kuasa dan kedudukan sepatutnya dipergunakan untuk membimbing dan mendidik masyarakat dalam hal ehwal keagamaan bukan untuk dijadikan sebagai alat untuk memperkayakan diri dan mendapat kedudukan istimewa.

Kerajaan Malaysia amat prihatin dalam hal ehwal pendidikan terutama dalam aspek kerohanian dan keagamaan. Permasalahan yang dihadapi oleh kerajaan ialah memilih individu yang memahami Islam sebagai satu agama yang universal dan berjiwa zuhud seperti ulama-ulama silam.

Apabila kuasa dan kedudukan diamanahkan kepada golongan agama, mereka sepatutnya memahami bahawa kedudukan dan pangkat yang diberikan oleh kerajaan merupakan amanah yang besar dan rahmat daripada Allah.

Tokoh-tokoh agama perlu menilai kebolehan mereka dalam mengendalikan hal ehwal keagamaan secara ikhlas. Kurangnya kesedaran begini boleh menyebabkan mereka membuat kesilapan dalam memberi fatwa dan pandangan kepada kerajaan dan masyarakat.

Kematangan dalam hal ehwal kemasyarakatan dan ketinggian ilmu agama adalah satu kriteria penting untuk membolehkan seseorang itu menjawat jawatan penting dalam urusan keagamaan dalam negara.

Sikap tawaduk dan memahami bidang ilmu pengetahuan amat perlu untuk menjadikan seseorang itu menilai kebolehan dirinya. Apabila sifat ini disemadikan dalam jiwa dan pemikirannya maka beliau amat berhati-hati dalam ucapan dan tindakan.

Masa kini ketidakstabilan politik dalam negara perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas bukan hanya tertumpu kepada satu bangsa dan agama sahaja.

Dalam era globalisasi, kekuatan umat bergantung kepada kecekapan, keaktifan dan kesungguhan ahli-ahli agama Islam dan masyarakat mengamalkan kegiatan keagamaan dalam bentuk yang universal dengan pelbagai program agama dan bukan hanya berdasarkan kepada perundangan sahaja.

Ciri-ciri globalisasi perlu difahami oleh tokoh-tokoh agama supaya fatwa dan pandangan mereka dapat diterima oleh masyarakat keseluruhannya. Dalam era manusia adalah sama dan tidak ada perbezaan pangkat dan kedudukan maka ketika ini sifat zuhud dan tawaduk menjadi pemilihan masyarakat.

Tokoh-tokoh agama yang memegang amanah negara perlu akur kepada sifat dan tingkah laku supaya kehadiran mereka dalam dunia politik menjadi sinar dalam kehidupan masyarakat bukan musibah yang boleh membangkitkan kebencian masyarakat terhadap kerajaan.

Jika tokoh-tokoh agama lain sukar untuk memberi ceramah secara terbuka maka sepatutnya tokoh-tokoh agama yang dilantik oleh kerajaan perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada ceramah-ceramah agama berunsur kerohanian di seluruh pelosok negara.

Hakikatnya, masyarakat terlalu dahagakan ilmu agama kerana ceramah-ceramah agama semakin hari kian hilang penonton. Forum-forum perdana hanya dikuasai oleh tokoh-tokoh agama yang sama bertahun-tahun lamanya seolah-olah begitu kurang orang berpendidikan agama sedangkan berpuluh ribu orang graduan Islam wujud dalam negara ini.

Perjuangan untuk menyedarkan muda mudi tentang perlunya pengisian agama kurang dilaksanakan oleh golongan agama yang mempunyai gaji dan kedudukan yang lumayan. Kegiatan begini dipergiatkan oleh organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) kerana mereka merupakan orang yang sering turun ke padang melihat nasib muda mudi yang terumbang ambing, ketagihan dadah dan ganas akibat kehausan kerohanian.

Sikap pasif dan kurang memahami masalah muda mudi dan masyarakat adalah punca utama menyebabkan golongan agama kurang berminat untuk menyusahkan diri mereka melihat nasib bangsa yang kehausan kerohanian. Sikap sukarela golongan agama masa silam dan sekarang untuk membimbing masyarakat dalam ilmu fardu ain amat juah bezanya.

Kenapa masih lagi kurang golongan agama turun ke padang dan sebarkan Islam di seluruh pelosok negara supaya muda mudi yang kehausan kerohanian dan agama dapat menghayati Islam dan menjadi orang yang berwibawa.

Oleh itu golongan agama yang mendapat keistimewaan daripada kerajaan sepatutnya menjadi lebih aktif dalam kegiatan kemasyarakatan kerana kekuatan mereka menentukan kekuatan kerajaan dalam menerajui hal ehwal agama Islam.

Penulis ialah DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)