• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Turki Dorong Soleiman Pada Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Setiap saudara Muslim atau mualaf mempunyai pengalaman spiritual tersendiri yang mendorong mereka untuk masuk Islam.

Begitu juga Soleiman, yang hatinya terkesan untuk memeluk Islam di negara Muslimsekular - Turki yang para pemimpin pasca Turki moden lebih cenderung menindas Islam. Ia termasuk larangan memakai tudung dan kopiah di kalangan kaum Muslim.

Padahal sebelum itu, Soleiman yang dahulunya seorang ateis pernah berkunjung ke negara-negara Asia Barat yang kebanyakan terkenal mengamal dan melaksanakan peraturan dan hukum Islam dalam segenap hidup mereka.

Ketika pertama kali berkunjung ke Bahrain, Soleiman berharap dapat bertemu negara Asia Barat yang kental dengan budaya Islam yang dipertahankan oleh seluruh warga Islamnya.

"Tetapi yang saya temui begitu jauh menyimpang. Di negara itu saya lihat ramai orang asing dari pelbagai negara dan agama datang untuk bekerja mencari nafkah.

"Oleh kerana ramainya warga asing, warna-warna Islam di negara Muslim itu semakin malap dan hampir-hampir tertutup walaupun kebanyakan mereka juga umat Islam," katanya.

Begitupun di Bahrain, beliau berpeluang mendengar laungan azan yang baginya bukan sahaja merdu tetapi meresap ke jiwa.

"Lalu saya bertanya apa maksud perkataan dalam azan itu. Mereka beritahu saya maknanya tetapi ia sekadar satu maklumat baru sahaja kerana saya tidak lebih hanya seperti seorang pelancong ketika berada di Bahrain," katanya.

Selepas Bahrain, Soleiman ke negara Teluk lain termasuk Sharjah, Oman; Kuwait dan Dubai di Emeriah Arab Bersatu (UAE). Walaupun banyak menimba pengalaman baru dari negara-negara tersebut namun hatinya lebih terkesan ketika di Turki.

"Saya bertemu sesuatu yang berbeza walaupun negara yang setengah Eropah dan setengah Asia itu kita lihat banyak fakta yang menyedihkan mengenai sistem sekularisme yang diamalkan.

"Namun dalam banyak keadaan, hal-hal yang bersangkutan dengan Islam masih kekal dalam satu bentuk budaya yang unik dan mempamerkan kehebatan Islam yang sangat luar biasa.

"Turki memiliki sejarah Islam yang hebat dan secara visual telah membuat saya berasa sangat kagum. Terutamanya ketika saya menghayati seni atau gaya seni bina Islam yang sangat indah dari zaman pemerintah khalifah Uthmaniah," ujar beliau.

Di Turki, Soleiman sempat merasakan suasana Ramadan yang sangat berbeza berbanding ketika beliau berada di negara-negara Teluk.

Katanya, Ramadan di negara-negara Teluk tidak ada bezanya dengan bulan lain kerana orang Islam boleh minum teh pada siang hari.

"Tetapi di Turki, Ramadannya agak lain. Ini kerana saya perhatikan mereka yang berpuasa di sana, adalah mereka yang terbaik akhlaknya.

"Ini yang membuatkan saya tertarik dan dan tanpa disuruh saya sendiri ikut berpuasa," katanya.

Meskipun belum menjadi Muslim, Soleiman tidak menghadapi masalah untuk berlapar dan dahaga.

"Saya menikmati sepenuhnya detik-detik berpuasa itu khususnya beberapa minit sebelum azan Maghrib berkumandang. Saya menunggu waktu berbuka umpama menanti satu detik kejayaan kerana berjaya menahan kebiasaan kita sebelum ini iaitu makan dan minum sebanyak mana yang kita mahu," katanya.

Pengalaman berpuasa di Turki itu memberi inspirasi kepadanya untuk mengenali dan mempelajari Islam dengan lebih mendalam.

Lebih-lebih lagi apabila beliau dihadiahkan senaskhah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris. Soleiman mengaku terus terpukau saat membaca terjemahan al-Quran itu dan merasa tidak ada yang asing dengan kitab suci yang dibacanya itu.

"Tidak ada yang aneh atau sebarang yang tidak masuk akal di dalamnya," ujarnya.

Beliau turut membaca kisah sejarah atau biografi kehidupan Nabi Muhammad SAW yang baginya banyak memberi inspirasi.

"Baginda adalah lelaki yang luar biasa dalam sejarah," kata Soleiman yang sayangnya ketika itu beliau tidak bertemu dengan orang yang yang serius berdakwah padanya dan menyakinkannya mengenai Islam.

Sekembalinya dari Turki, Soleiman bertugas di Dubai. Kali ini beliau berpeluang bertemu dengan mereka yang menurutnya yang dicari-cari selama ini.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)