• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ubati Marah Dengan Ilmu Dan Amal

BILAKAH kali terakhir anda marah dan kepada siapakah anda tujukan kemarahan itu? Sudah berapa banyak hati yang terluka dengan kemarahan anda itu?

Bukan tidak boleh marah namun kadang-kadang marah itu menjadi wajib. Nabi pun pernah marah apabila agamanya dipermainkan. Bila ada pelanggaran hukum Allah nabi menampakkan kemarahannya.

Buruk sangat marah dilakukan kerana nafsu. Ja'far bin Muhammad mengatakan, "Marah adalah pintu segala kejelekan." Dikatakan kepada Ibnu Mubarak, "Kumpulkanlah untuk kami akhlak yang baik dalam satu kata! Beliau menjawab, "Meninggalkan amarah."

Demikian juga Imam Ahmad dan Ishaq menafsirkan bahawa akhlak yang baik adalah dengan meninggalkan amarah. Orang yang marah tidak tentu pasal tidak perasan ke buruk­nya muka orang marah.


Raut wajahnya berubah, darahnya meluap, anggota menggeletar, urat-urat lehernya menegang, pergerakannya kelam kabut, percakapannya tidak jelas, lidahnya mudah mengeluarkan kata keji, mengumpat, mengutuk dan kemungkinan mengeluarkan kata haram yang boleh me­ngeluarkannya daripada Islam seperti lafaz kufur, mencela agama dan seumpamanya.


Selain daripada itu, seorang yang cepat marah akan melakukan tindakan di luar dugaan yang berkemungkinan akan membabitkan kerugian harta dan kesakitan pada tubuh badan.

Yang parah lagi, marah terhadap masyarakat, ia melahirkan perasaan dengki ­
di dalam diri dan menyembu­nyikan niat jahatnya terhadap seseorang.

Ia boleh membawa kepada perbuatan menyakiti orang lain dan membenci serta merasa gembira apabila mereka ditimpa musibah. Seterusnya akan mencetuskan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia.

Maka, rosaklah kehidupan dan runtuhlah masyarakat. Ada seperkara lagi yang selalu kita lakukan ketika marah, padahal perkara itu amat membahayakan diri sendiri sebelum ia membahayakan diri orang lain.

Mungkin kita menyedari perbuatan itu salah, tetapi kerana terlalu terpengaruh dengan marah kita tidak dapat menimbang lagi segala kata-kata yang diucapkan oleh lidah.

Kata-kata itu seperti melaknati orang, mencelakakan orang dan sebagainya. Sebab jika kita me­nyebutkan kata-kata yang tidak senonoh itu kepada orang lain, seolah-olah kita menuduhnya dengan ucapan kita itu.

Andai kata apa yang diucapkan itu memang benar, nescaya kita melanggar perintah menyuruh kita menutup segala keaiban orang lain. Orang yang mendedahkan keaiban saudaranya adalah berdosa besar di sisi Allah sekalipun perkara yang dituduhnya itu memang benar. Apatah lagi jika tidak benar, maka dosanya akan bertimpa-timpa lagi. Ada setengah ulama menganggap ucapan seperti ‘sial', ‘laknat', ‘celaka' dan seumpamanya sebagai doa, kerana ada sebuah hadis daripada Rasulullah yang melarang perbuatan seperti itu, nescaya bencana ucapan itu akan menimpa orang yang ditujukan ucapan itu, kiranya dia memang patut menerima bencana itu pada ukuran Allah.

Tetapi kiranya dia tidak patut menerimanya, maka bencana itu akan kembali menimpa ke atas orang yang memberi ucapan itu.

Diriwayatkan dari Jabir, beliau berkata: "Suatu masa kami bersama-sama Rasulullah sedang menuju ke medan perang, tiba-tiba ada seorang Ansar merasa tidak selesa terhadap binatang kenderaannya, lalu dia menyumpah-nyumpah binatang itu: Jalanlah, laknat! Maka baginda marah kepada orang Ansar itu lalu bersabda: Turunlah dari binatang itu! Jangan engkau biarkan ia ikut bersama-sama kita, kerana ia mendapat laknat. Kemudian Baginda bersabda lagi: Janganlah engkau mendoakan (kecelakaan) ke atas dirimu atau ke atas anak-anakmu atau ke atas harta bendamu, kerana dikhuatiri bertepatan pada saat doa mustajab, di mana setiap hamba yang memohon (berdoa) sesuatu dari Tuhan akan dikabulkan".

Di sini mari kita berkongsi sedikit tip untuk merawat sifat marah yang berasaskan nafsu atau baran. Sebenarnya penyakit marah yang dicela itu boleh diubati dengan dua perkara iaitu ilmu dan amal.


Mengubati marah dengan ilmu itu ada enam perkara:

Bertafakur memikirkan kisah teladan yang menyentuh buruk baiknya bersifat marah, berfikir keutamaan menahan kemarahan, memberi maaf dan berlemah lembut.

Dengan cara itu, akan menjadikannya gemar dan suka kepada pahala yang bakal diperoleh dari menghiasi diri dengan sifat tadi. Seterusnya dapat mencegahnya dari bersifat marah.

Seseorang itu menakutkan dirinya kepada seksaan Allah dengan mempercayai bahawa kekuasaan Allah ke atas dirinya lebih besar dari kekuasaannya ke atas manusia lain.

Mengingatkan diri akibat permusuhan dan pembalasan dendam.

Berfikir mengenai bentuk buruk dirinya ketika dia marah dan berfikir betapa kejinya sifat marah itu.

Berfikir sebab yang membawanya kepada kemarahan.

Menyedari kemarahannya berpunca dari sikap membang­gakan diri sendiri yang tidak sesuai dengan kehendak Allah.


Sementara itu, mengubati marah dengan amal perbuatan pula ialah dengan membaca doa: "Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang kena rejam".

Begitu juga sunat dibaca doa itu ketika marah, ertinya: "Wahai Tuhanku, Tuhan Nabi Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan lepaskanlah aku dari fitnah-fitnah yang menyesatkan".

Jika kemarahan itu tidak hilang dengan membaca ayat itu , maka hendaklah seseorang itu duduk jika dia marah dalam keadaan dia berdiri, (berdiri sebenarnya keadaan bersedia untuk bertindak sebab itu Rasul suruh duduk sebab duduk kurang sedikit kemahuan bertindak ganas. Begitu juga disuruh baring sebabnya ketika baring sudah tidak ada keupayaan untuk bertindak.

Dekatkan diri dengan bumi, yang mana dari bumi itulah dia dijadikan dan supaya dia tahu kehinaan dirinya. Kemudian carilah dengan duduk dan berbaring itu ketenangan.

Rasulullah bersabda yang maksudnya, "Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia melekatkan dirinya ke bumi"
Selain itu, cara menghilang­kan marah juga ialah dengan mendiamkan diri.
Rasulullah bersabda yang maksudnya: "Apabila seseorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam.

Oleh kerana kesan tercela yang ditimbulkan sifat marah itu, Rasulullah menganjurkan umat manusia supaya jangan suka marah. Ia tidak akan mendatangkan perkara yang baik kepada diri.

Malah, menyebabkan pelbagai bencana terutama sekali perasaan marah itu diletakkan bukan pada tempatnya. Selain itu, orang yang suka marah sering ditunggangi syaitan yang memaksakan kehendaknya ke atas orang yang marah itu.

Manakala orang yang menurut kehendak syaitan tidak akan selamat di dunia dan di akhirat.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)