• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ulul Albab : Al-quran Sedia Asas Interaksi Berhemah

Sembilan perkataan beri panduan berkomunikasi secara bijak dalam pelbagai keadaan

KUMPULAN huruf yang bermakna disebut kata. Kumpulan kata yang bermakna disebut kalimat dan kumpulan kalimat yang bermakna disebut ucapan. Huruf, kata, kalimat dan ucapan adalah tafsiran semua kehidupan manusia yang diolah otak sehingga merefleksi kebaikan atau keburukan, kebenaran mahupun kesalahan dan yang hak atau batil.

Keempat-empat faktor pentafsir kehidupan manusia di atas menurut istilah al-Quran disebut kalimah tayyibah (kalimah baik) dan kalimah khabithah (kalimah jahat atau buruk). Al-Quran menjelaskan maksudnya iaitu:Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah baik adalah sebatang pohon baik yang pangkalnya (akar tunjang) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buah pada setiap masa dengan izin Tuhan. Allah mengemukakan perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat (mendapat pelajaran) dan bandingkan kalimah yang jahat atau buruk sama seperti pohon tidak berguna yang mudah terbongkar akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. (Surah Ibrahim: 24-26)

Jika ditelusuri ayat al-Quran, kita mendapat banyak pelajaran daripada sembilan perkataan yang disebutnya untuk kepentingan komunikasi dan interaksi berhemah sesama kita. Pelajaran ini sangat berguna demi menjaga dan memelihara keharmonian bermasyarakat seperti diinginkan al-Quran.
Perkataan dalam penggunaan bahasa al-Quran kadangkala disebut al-qaul, atau qaulan. Al-qaul disebut 32 kali, manakala qaulan disebut 20 kali dan ada sembilan perkataan yang boleh kita jadikan asas interaksi.

Pertama, qaulan kariman atau perkataan yang mulia. Ia disebut sekali dan dikaitkan dengan hubungan antara anak dan orang tuanya. Al-Quran menjelaskan maksudnya: Dan Tuhanmu sudah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya, sampai umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ha, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun. (Surah al-Israk: 23)

Kedua, qaulan makrufan atau kata baik yang disebut al-Quran empat kali. Kata baik ini dikaitkan dengan hubungan manusia sesama mereka yang mempunyai kedekatan seperti suami isteri (Surah al-Baqarah: 235), anak yatim, orang miskin dan kerabat (Surah al-Nisa: 8), orang di bawah jagaan kita (Surah al-Nisa: 5) dan orang yang sentiasa berhubungan dengan kita (Surah al-Ahzab: 32)

Ketiga, qaulan layyinan atau kata lemah lembut dan disebut al-Quran sekali. Kata ini digunakan untuk menghadapi orang aniaya agar hati mereka tersentuh dan diharapkan boleh kembali ke jalan yang benar. Al-Quran menyebut maksudnya: Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata yang lemah lembut, semoga dia beringat atau takut. (Surah Taha: 44)
Keempat, qaulan balighan atau kata yang boleh memberi kesan pada hati. Al-Quran menasihati kita menggunakan qaulan balighan ketika berdepan orang yang menentang sambil kita bersiap diri untuk berpaling daripada mereka. Perkataan ini disebut sekali dalam ayat 63 Surah al-Nisa.

Kelima, qaulan sadidan atau perkataan yang betul yang menepati kebenaran. Al-Quran menyebutkannya di dua tempat yakni ayat 9 Surah al-Nisa dan ayat 70 Surah al-Ahzab. Ia ditujukan kepada kita agar sentiasa berkata betul dan menepati kebenaran.

Allah berfirman maksudnya: Wahai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat benar (dalam segala perkara), supaya Dia memberi taufik dengan menjayakan amal kamu dan mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. (Surah al-Ahzab: 70)

Keenam, qaulan maysuran atau kata menyenangkan hati dan disebut al-Quran sekali saja dalam ayat 28 Surah al-Israk. Sheikh Abdullah Basmeh dalam mentafsir ayat ini berkata: Yakni jika kita tidak mampu hendak memberikan apa-apa kepada kaum kerabat atau orang miskin atau musafir yang memerlukan bantuan, lalu kita tidak melayani mereka kerana menunggu kedatangan rezeki daripada limpah kurnia Allah yang diharapkan, maka pada saat itu janganlah kita memperkatakan sesuatu yang mengecilkan hati mereka, tetapi hendaklah berkata kepada mereka dengan cara yang baik dan berterus terang.

Ketujuh, qaulan thaqilan yang dalam istilah harfiyahnya bererti kata yang berat. Ia disebut al-Quran sekali dan dikhaskan untuk persiapan menerima al-Quran sebagai aturan peraturan Allah di muka bumi seperti yang dijelaskan dalam ayat 5 Surah al-Muzammil.

Kelapan, qaulan aziman atau perkataan dusta yang amat besar. Ia disebut sekali dalam ayat 40 Surah al-Israk ditujukan kepada dakwaan batil orang musyrik dan kafir.

Kesembilan, al-qaul al-thabit atau kalimah tetap teguh seperti disebut dalam satu ayat saja yakni ayat 27 Surah Ibrahim yang bermaksud: Allah menetapkan (pendirian) orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)