• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ulul Albab : Selesema babi amaran untuk umat ingkar

Manusia sering alpa peringatan Allah dalam al-Quran haramkan binatang punca penyakit

APAKAH yang berlaku pada masyarakat antarabangsa hari ini? Baru saja mereka dikejutkan dengan selesema burung dan sebelumnya sindrom pernafasan yang teruk (SARS), kini mereka dikejutkan lagi dengan selesema babi. Belum lagi mereka menyelesaikan masalah pertama, kini sudah menerpa masalah kedua. Mungkinkah muncul masalah lain selepas ini? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Bagi mereka 'di luar lingkaran,' seperti ruangan Datuk Johan Jaaffar dalam akhbar ini, selesema babi mungkin konspirasi pihak-pihak tertentu penguasa dunia. Ia boleh kita amati menerusi tulisan Dr Keith bertajuk Swine flu outbreak. The truth is ugly pada 27 April lalu. Setakat tarikh itu, 1,614 kes wabak dan 103 kematian walaupun belum ada pengesahan semua kes ini berkaitan selesema babi.

Artikel itu merujuk kes pertama wabak serupa yang berlaku pada 1918 hingga 1922 dan turut disentuh pembabitan sebuah syarikat gergasi farmasi Amerika Syarikat dalam aksi bio-terrorists atau pengganas biologi yang menyebarkan vaksin selesema burung.

Mengenai perkara ini Dr Keith menulis apa yang dikatakan seseorang iaitu "As Mike Adams, The Health Ranger, has commented, if you mail an envelope full of anthrax to your senator, you get arrested as a terrorist. So why is ..... which mailed samples of a far more deadly viral strain to labs around the world - getting away with saying, essentially, oops?" (Seperti dikatakan Mike Adams, anda boleh ditahan sebagai pengganas jika menghantar sampul surat berisi antraks kepada senator (Amerika). Bagaimanakah pula dengan tindakan (syarikat farmaseutikal) yang menghantar virus lebih bahaya kepada makmal di seluruh dunia dan boleh pula dengan berkata....oops?")

Wabak Influenza A menjadi bualan hangat masyarakat antarabangsa hari ini. Kira-kira 100 sekolah di Amerika ditutup sementara berikutan kebimbangan merebaknya virus ini. Switzerland mengesahkan kes pertama selesema babi di negara itu apabila mangsa dimasukkan ke hospital Baden di Aargau, bahagian utara Switzerland.

Menteri Kesihatan Peru, Oscar Ugarte mengesahkan seorang wanita warga Argentina yang menetap di negara itu sebagai kes pertama penghidap selesema babi. Sekarang seluruh pelanggan media masa dunia dipaparkan berita mengenainya dan 'terangkatlah' nama babi yang mengikut Islam binatang najis yang haram dimakan.

Babi disebut lima kali dalam al-Quran al-Karim; empat daripadanya dikaitkan dengan pemakanan manakala satu lagi dikaitkan dengan bangsa Yahudi.

Keempat-empat ayat yang membincangkan masalah memakan babi adalah ayat 173 Surah al-Baqarah; ayat 3 Surah al-Maidah; ayat 145 Surah al-An'am dan ayat 115 Surah al-Nahl.

Satu lagi ayat yang dikaitkan dengan bangsa Yahudi adalah ayat 60 Surah al-Maidah yang bermaksud: "Katakan: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu mengenai yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Mereka ialah orang yang dilaknati oleh Allah dan dimurkai-Nya dan orang yang dijadikan antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat daripada jalan yang betul."

Sebelum dan sesudah ayat ini, Allah memberitakan perkhabaran ahli kitab khususnya Yahudi dengan kekufuran mereka terhadap ajaran Allah, pada akhirnya mereka diseksa oleh Allah dengan salah satunya diubah menjadi babi. Jika kita perhatikan ayat yang menjelaskan haram makan babi, maka kita sedari ayat berkenaan tidak hanya ditujukan kepada umat Islam tapi kepada seluruh manusia. Mari kita perhatikan semua ayat berkenaan iaitu:

Pertama: "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah." (Surah al-Baqarah: 173).

Kedua: "Diharamkan kepada kamu (makan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan..." (Surah al-Maidah: 3)

Ketiga: "Katakan (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang sudah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor..." (Surah al-An'am: 145).

Keempat: "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu makan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah." (Surah al-Nahl: 115)

Larangan makan daging babi dan apa yang diambil daripadanya adalah untuk seluruh umat manusia. Mengapa demikian?

Ayat Surah al-An'am menjawabnya dengan jelas yakni: "...kerana sesungguhnya ia adalah kotor." Menganggap babi sebagai binatang kotor bukan tanggapan masyarakat Islam berpegang dengan ajaran al-Quran yang menyatakan ia najis, tetapi di Barat fenomena menganggap babi kotor juga wujud. Sebagai contoh dalam masyarakat mereka ada perumpamaan yang menyatakan don't be such a pig atau take your hands off me, you filthy swine.

Makan makanan halal dan baik adalah ajaran utama Islam kerana ia boleh menyelamatkan dan membawa manusia kepada kebahagiaan, selain tidak menjerumuskan mereka ke lembah kesengsaraan.

Dalam hal ini, Baginda Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah baik dan tidak kabulkan (menerima) kecuali yang baik. Allah menyuruh orang mukmin sama seperti Dia lakukan ke atas rasul seperti firman-Nya yang bermaksud: "Wahai rasul, makanlah daripada benda yang baik dan kerjakan amal salih."(Surah al-Mukminun: 52).

Allah juga berfirman maksudnya: "Wahai orang beriman! Makan daripada benda yang baik (yang halal)." (Surah al-Baqarah: 172).

Rasulullah menyebut mengenai seorang yang melakukan perjalanan jauh, rambutnya kusut dan wajahnya kotor dipenuhi debu, menadahkan tangannya ke langit lalu berkata: "Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku," sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia diberi makan daripada yang haram pula. Jika demikian bagaimana Allah kabulkan doanya? (Hadis riwayat Muslim).

Sebagai benda haram sepatutnya babi dan hasil daripadanya tidak dimakan umat Islam kerana menjejaskan kesahihan ibadat mereka. Hari ini banyak benda khasnya makanan dan ubat yang dicampur enzim babi sehingga kita tidak perasan soal halalnya. Kita mendengar keluhan ramai yang ubat ini ada enzim babi atau ubat itu dibuat daripada babi. Apakah kepentingan melakukan sebegitu sehingga menjejaskan kesucian umat Islam?

Dalam Islam, ini ditegaskan seperti hadis bermaksud: "Tariq Suwaid bertanya kepada Nabi SAW mengenai khamar (arak) dan Baginda melarangnya. Tariq berkata: "Aku hanya menjadikannya campuran untuk ubat." Lalu Nabi SAW berkata lagi: "Itu bukan ubat tetapi penyakit." (Hadis riwayat Ahmad)

Bagi berdepan wabak seperti selesema babi, umat Islam diingatkan terhadap ajaran agama suci mereka antaranya bermaksud: "Larilah daripada penderita juzam (lepra) seperti kamu lari daripada harimau." (Hadis riwayat Bukhari)

"Apabila berlaku dalam satu negeri wabak penyakit dan kamu berada di situ jangan kamu ke luar meninggalkan negeri itu. Jika terjadi ketika kamu di luar negeri itu, jangan kamu memasukinya." (Hadis riwayat Bukhari)

"Mohon kepada Allah keselamatan dan afiat (kesihatan). Sesungguhnya tiada sesuatu pemberian Allah sesudah iman lebih baik daripada kesihatan." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Ya Allah, hanya rahmat-Mu yang kami harapkan, maka jangan Engkau biarkan diri kami terlepas daripada kasih sayang-Mu sekelip mata pun dan perbaikilah selalu keadaan kami, tiada Tuhan selain Engkau. Amin!

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)