• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ulul Albab: Madinah contoh unggul konsep satu bangsa

Rasul damaikan kaum di bawah satu akidah, Islam sebagai negara, al-Quran jadi perlembagaan

BANGSA dalam Kamus Dewan mempunyai lima pengertian. Bangsa bermaksud jenis manusia daripada satu asal keturunan; kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan; macam atau jenis; jantina atau jenis kelamin dan darjat tinggi atau keturunan mulia.

Kelima-lima pengertian bangsa itu termasuk dalam beberapa pengertian 'umat' dalam bentuk kata tunggal atau jamak yang disebut 141 kali dalam al-Quran.

Sebagai contoh, satu kumpulan manusia tanpa diberi tambahan 'satu asal keturunan' atau 'dalam satu ikatan ketatanegaraan' juga disebut umat dalam al-Quran seperti dalam ayat bermaksud: "Dan tatkala dia (Musa) sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing)." (Surah al-Qasas: 22)

Bahkan, dalam al-Quran seorang manusia pun dikatakan umat atau bangsa seperti yang boleh kita tafsirkan daripada ayat bermaksud: "Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah satu umat (walaupun dia seorang diri), dia taat kepada Allah, berdiri teguh atas dasar tauhid dan tidak pernah menjadi orang yang musyrik. Dia sentiasa bersyukur nikmat Allah (dan) Allah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk ke jalan yang lurus." (Surah al-Nahl: 120-121).

Dalam penjelasannya, Syeikh Abdullah Basmeih menulis: "Selepas itu Allah menerangkan pula kelebihan Nabi Ibrahim as sebagai contoh baik yang sepatutnya dituruti. Meskipun seorang diri, Allah sifatkan dia sebagai satu umat kerana terhimpun padanya sifat kebaikan dan kesempurnaan yang hampir tidak wujud, melainkan pada satu umat yang ramai bilangannya. (Tafsir Pimpinan Arrahman).

Pujian dan sanjungan Allah SWT terhadap Nabi Ibrahim as sebagai satu umat kerana Baginda mengamalkan empat sifat utama sebagai penunjangnya iaitu taat kepada Allah, berdiri teguh atas dasar tauhid, tidak musyrik dan sentiasa bersyukur. Keempat-empat penunjang ini sebagai implementasi daripada perintah Allah dalam konsep keumatan yang termaktub dalam dua ayat al-Quran dalam dua surah yang berurutan, masing-masing bermaksud: "Dan Akulah Tuhan kamu, maka kamu sembahlah aku." (Surah al-Anbiya: 92) dan "(dan) Akulah Tuhan kamu dan bertakwalah kamu kepada-Ku." (Surah al-Mukminun: 52).

Ibadah dan takwa adalah kunci utama konsep pembentukan umat atau bangsa dalam al-Quran. Nabi Ibrahim menerapkan dua kunci utama ini dalam empat sifat tonggak perilaku kehidupan Baginda sehingga mendapat pujian dan sanjungan Allah.

Dua kunci utama ini juga diamalkan buat pertama kali oleh umat atau bangsa Madinah al-Munawwarah di bawah kepemimpinan Nabi Muhammad SAW sehingga mereka mendapat pujian dan sanjungan Allah SWT. Al-Quran menyatakan yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala kebaikan dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah Ali 'Imran: 110).

Tiga sifat utama dalam ayat ini yang menjadikan umat Islam sebaik-baik umat yang dilahirkan ialah amar makruf, nahi mungkar dan iman. Ketiga-tiga sifat ini adalah implementasi daripada dua kunci utama pembentukan kebangsaan menurut al-Quran iaitu ibadah dan takwa. Ibadah ada pada amar makruf nahi mungkar, manakala takwa ada pada iman yang sebenar-benar iman.

Konsep satu umat atau bangsa pertama kali diperkenalkan dalam sejarah Islam oleh Rasulullah SAW sempena ketibaan Baginda di Kota Yathrib yang kemudian ditukar menjadi Kota Madinah 1,430 tahun lalu. Pada masa itu, Madinah adalah kota metropolitan walaupun tidak sehebat Makkah yang memiliki kepelbagaian bangsa dan budaya termasuk Arab yang diwakili suku Aus dan Khuzruj di samping Yahudi, Nasrani dan musyrik.

Bagi mengelak jurang pemisah di antara mereka, Rasulullah memperkenalkan Piagam Madinah yang menjelaskan secara global hak atau tanggungjawab dan kewajipan pemerintah dan keperluan yang mendesak. Piagam ini merangkumi 52 peruntukan dan diambil berat oleh pengkaji perlembagaan Islam oleh sejarawan Islam, di samping orang Yahudi dan Nasrani Eropah.

Antara sarjana Yahudi dan Kristian yang memberi perhatian kepada piagam ini ialah Wellhaussen, Caetani, Ranke, Wensick, Sprenger, Grimmer, Mueller dan antara yang terakhir ialah W Montgomery Watt. Piagam ini diterjemahkan secara keseluruhan atau perbincangan antaranya ke dalam bahasa Belanda, Itali, Inggeris, Perancis dan Jerman. Antara cendekiawan Islam terkini yang membincangkan secara serius perlembagaan itu ialah Prof Muhammad Hamidullah. Beliau menyifatkan Perlembagaan Madinah sebagai The First Written Constitution in the World. (Muhammad Nasir: Aspek Undang-Undang Perlembagaan Islam)

Sayyid Qutb dalam Ma'alim fi al-Tariq menulis: "Islam datang membawa satu konsep baru untuk umat manusia, konsep mengenai hakikat segala tali-temali dan alat penghubung. Serentak itu, Islam juga membawa satu konsep baru mengenai hakikat nilai dan dari manakah nilai itu perlu ditatang terima.

Islam datang untuk membawa umat manusia kembali ke pangkuan Tuhannya, untuk menjadikan kuasa Tuhan sebagai kuasa tunggal sebagai tempat manusia menceduk dan mendapatkan nilai seperti mana manusia wujud dan hidup dirinya, tempat manusia kembali seperti juga daripada iradat-Nya manusia merangkak keluar ke dunia dan ke pangkuan-Nya manusia menyusur kembali.

Selepas memerhati kejayaan bangsa Madinah, beliau pun mengulas: "Umat yang dirintis perjalanannya dan dipelopori pembentukannya oleh Abu Bakar berbangsa Arab, Bilal (kulit hitam Habsyah) Suhaib (Rome) dan Salman (Parsi) serta saudara mereka yang budiman. Jejak mereka pula diikuti beberapa generasi lagi selepas mereka dengan akidah sebagai pengenalan rupa bangsa, Islam menjadi negara mereka, Allah menjadi pemerintah mereka dan Al-Quran sebagai perlembagaan mereka.

"Inilah konsep tinggi nilainya mengenai negara, rupa bangsa dan keluarga yang menjadi pedoman menguasai hati setiap orang pendakwah kepada agama Allah, diberitahu dengan terang dan lantang kepada seluruh umat manusia supaya tidak bercampur dengan penyelewengan yang dibawa konsep ala Jahiliah yang diseludup secara senyap, tidak diresapi pelbagai bentuk syirik tersembunyi (syirik khafi) iaitu mensyirikkan Allah SWT dengan tanah, bangsa, kaum, keturunan dan pelbagai kepentingan kecil untuk keperluan jangka pendek serta syirik yang dikumpulkan Allah dalam sebelah tangan dan diletakkan iman di tangan yang lain, lalu disuruh manusia memilih sendiri." Wallahualam

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)