• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Umaimah Mendapat Suami Yang Syahid

UMAIMAH binti Khalaf adalah seorang srikandi yang penyabar. Dia adalah isteri seorang pahlawan Islam yang bernama Khalid bin Said bin al-Ash. Umaimah dan suaminya adalah pasangan suami isteri yang sama padan. Mereka sanggup melalui pelbagai rintangan hidup. Sudah dan senang, Umaimah tetap bersama suami tercinta.

Pada suatu malam, suaminya mengalami satu mimpi yang aneh. Pada keesokan harinya, suaminya menceritakan mimpi itu kepadanya.

Khalid berkata, "Malam tadi saya bermimpi. Saya lihat ada satu unggun api yang begitu besar. Nyalaan api itu begitu panas sehingga boleh membakar diri orang yang terkena api itu".

Khalid menyambung lagi, "Kemudian, ayah saya datang menghampiri saya. Ayah meminta saya masuk ke dalam nyalaan api yang besar itu".

Umaimah mendengar cerita mimpi suaminya dengan teliti. Kemudian, dia bertanya kepada suaminya, "Apakah yang berlaku selepas itu?"

Khalid menjawab, "Saya hampir-hampir masuk ke dalam api yang besar itu. Tiba-tiba saya merasa diri saya ditarik dari belakang. Saya tidak dapat melangkah ke arah unggun api itu. Kemudian saya menoleh ke belakang, alangkah terkejutnya saya apabila melihat Nabi Muhammad yang menarik baju saya".

"Begitukah kesudahan cerita mimpi awak?" tanya Umaimah.

Khalid menyambung lagi, "Saya melihat Nabi Muhammad terus menarik saya jauh dari unggun api itu. Saya tahu tindakan Nabi Muhammad adalah bagi menyelamatkan saya daripada terkena api yang besar".

Selepas Umaimah mendengar cerita mimpi suaminya, dia pun berkata, "Abu Bakar as-Siddiq adalah orang yang pandai mentafsir mimpi. Awak berjumlah dengannya".

"Betul juga kata awak," ujar suaminya.

Khalid bergegas ke rumah Abu Bakar as-Siddiq. Sampai sahaja di sana, Khalid menceritakan mimpinya. Lalu, Abu Bakar menjawab, "Awak begitu bertuah kerana mengalami mimpi itu. Mimpi itu adalah petanda baik bagi awak. Nabi Muhammad menyelamatkan awak daripada terpengaruh dengan ajakan ayah awak. Masuklah Islam. Islam menyelamatkan awak daripada seksaan api neraka".

Khalid memahami maksud Abu Bakar. Khalid berkata, "Terima kasih kerana membantu saya mentafsirkan mimpi itu. Saya akan berjumpa Nabi Muhammad".

Khalid bergegas berjumpa Nabi Muhammad. Sampai di hadapan Nabi Muhammad, Khalid mengucapkan dua kalimah syahadah. Khalid sudah memeluk agama Islam.

Khalid gembira kerana dia sudah memeluk Islam. Berita keislaman dirinya disampaikan kepada isteri tercinta.

"Wahai isteriku, saya sudah tahu makna mimpi itu?" kata Khalid kepada Umaimah.

"Apakah yang diberitahu oleh Abu Bakar tentang mimpi awak itu?," tanya Umaimah.

"Jawapannya sekarang ialah saya sudah memeluk agama Islam. Saya akan terus mempelajari agama Islam daripada Nabi Muhammad," jawab Khalid.

"Betulkah apa yang awak katakan ini?," tanya Umaimah tidak sabar-sabar mendapat pengesahan keislaman suaminya.

"Ya, betul. Saya sudah menjadi orang Islam," kata Khalid.

"Saya juga mahu menjadi orang Islam seperti awak. Saya mahu berjumpa Nabi Muhammad. Bawalah saya berjumpa Nabi Muhammad," kata Umaimah kepada suaminya.

Akhirnya, Umaimah dan suaminya memeluk agama Islam. Kemudian, mereka berhijrah ke Habsyah selepas mendapat tentangan daripada kaum Quraisy Mekah. Semasa di Habsyah, mereka hidup dengan aman dan damai.

Umaimah didapati hamil. Dia selamat melahirkan anaknya di Habsyah. Selama dia dan suaminya tinggal di Habsyah, mereka dikurniakan dua orang anak. Anak-anaknya bernama Said bin Khalid dan Amah binti Khalid.

Pada suatu hari, tiba masanya pasukan tentera Islam pergi berperang di negeri Syam. Khalifah Abu bakar as-Siddiq mengarahkan Syurahbil bin Hasan menakluk negeri Syam. Khalid bergabung dengan pasukan tentera yang diketahui oleh Syaruhbil bin Hasan.

Semasa dalam pertempuran itu, Khalid mati syahid. Berita kematiannya diketahui oleh isterinya. Isterinya menerima berita kematian suaminya dengan reda dan sabar.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)