• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Umat Islam Hilang Kekuatan Jika Gagal Bersatu

Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my

Perselisihan faham sesama insan boleh diselesai menerusi muzakarah dan berdakwah

"KELEMAHAN umat Islam bukan kerana kekuatan orang kafir sebab Allah SWT tidak beri pertolongan kepada orang kafir tetapi kepada kita (umat Islam). Jadi, kekuatan itu sepatutnya pada kita," kata pendakwah yang juga Ahli Majlis Agama Negeri, Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki.

Beliau yang juga Penasihat Yayasan Sofa berkata, sebaliknya, umat Islam lemah dan tidak memiliki kekuatan kerana tiada sebab yang melayakkan mereka untuk mendapat kekuatan.

"Kita tidak ada perpaduan dan perhubungan di antara satu jemaah Islam. Apabila hendak bersalam (sesama umat Islam) kita tolak tetapi orang kafir kita terima. Inilah gambaran sifat ahli bidaah atau kumpulan ajaran sesat zaman dulu.

"Puak Khawarij mengkafirkan orang Islam sewenang-wenangnya. Apabila orang itu buat dosa besar dikafirkan, sedangkan kita ahli Sunnah Wal Jamaah tak nafikan orang itu. Inilah yang jadi sekarang, bersalam dengan orang kafir, orang Islam kita tikam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan pidato pada Malam Apresiasi Generasi Salahuddin al-Ayyubi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, sempena Muktamar Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Hadir sama, Presiden Abim, Yusri Mohamad.

Syeikh Muhammad Fuad berkata, bab kepentingan perpaduan di kalangan umat Islam pernah disebut Nabi Muhammad SAW apabila Baginda sujud terlalu lama ketika solat sehingga sahabat menyangka Baginda sudah wafat.

Katanya, apabila ditanya sahabat selepas bangkit daripada sujud, Rasulullah bersabda Baginda memohon tiga perkara daripada Allah dan antaranya ialah meminta dijauhkan umat Islam daripada binasa disebabkan tangan sendiri.

"Kita binasa sebab kita tidak bersatu. Kita boleh berjabat salam dengan orang kafir tetapi kita tidak pedulikan orang Islam yang mahu bersalam dengan kita. Sebaliknya, kita perangi dan caci orang Islam serta buka keaiban di hadapan musuh Islam.

"Siapa akhirnya yang untung? Siapa yang bertepuk tangan disebabkan perpecahan umat Islam? Sebab itu Salahuddin membersihkan kerajaannya daripada anasir bidaah dan mampu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha membebaskan Baitulmaqdis.

"Hari ini kita mengasaskan jemaah kita di atas asas yang begitu rapuh. Kita kata berdakwah ke jalan Allah tetapi kita tidak kenal siapa Allah. Kita kata kita pendakwah Islam tetapi kita tidak kenal apa itu Islam sebenarnya yang dibawa oleh Rasulullah," katanya.

Beliau memberikan analogi bagaimana hendak membawa rakannya dari Ampang untuk menghadiri program keagamaan di Shah Alam jika beliau tidak tahu jalan ke bandar raya itu.

Syeikh Muhammad Fuad berkata, keadaan itu akan menyebabkan beliau tersesat jalan dan rakan yang dibawanya bersama turut sesat.

Beliau seterusnya berkata, kepercayaan kepada mazhab tidak menyebabkan umat Islam berpecah-belah, sebaliknya fahaman mazhab menyatukan umat Islam.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan bermaksud wajib bagi umat Islam bermazhab tetapi wajib kepada orang yang tidak ahli dalam agamanya kerana mazhab mengeluarkan hukum kepada al-Quran dan hadis.

"Jadi, kita ikutlah pendapat orang yang lebih faham dan mahir. Kalau kita membiarkan semua orang memegang fahaman sendiri terhadap al-Quran dan hadis dalam keadaan tidak layak, saya khuatir bukan setakat empat mazhab yang ada tetapi lebih 20 juta mazhab di Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia hari ini tidak mundur kerana umat Islamnya mempelajari mazhab Shafie yang menganjurkan Sunnah Wal Jamaah sehingga membawa keamanan dan kemajuan.

Katanya, jika tidak, Malaysia hari ini mungkin akan menjadi negara seperti Iraq dan Pakistan.

Beliau seterusnya mengajak pemimpin Islam di negara ini supaya bersatu kerana pada hakikatnya perselisihan itu hanya di luaran saja dan bukan dalaman.

Katanya, ia hanya salah faham di antara pemimpin parti Islam dalam memahami Islam dalam erti kata sebenar dan bukan tidak boleh hidup bersama.

Syeikh Muhammad Fuad berkata, umat Islam disuruh menyelesaikan masalah menerusi muzakarah dan berdakwah, malah Nabi Musa turut disuruh oleh Allah SWT supaya berdakwah kepada Firaun.

"Kalau Nabi Musa disuruh berdakwah, kenapa kita tidak boleh berdakwah kepada pemimpin yang kita kata fasiklah sedangkan yang paling fasik ialah Firaun. Ini kerana tidak ada orang mengaku Tuhan selain Firaun.

"Nabi Musa disuruh memuji dan bercakap lembut dengan Firaun. Itu etika yang diajar oleh Allah SWT. Tetapi kita tidak, kadangkala cara kita menyebabkan orang lari daripada kita. Itu masalahnya," katanya.

Beliau seterusnya mengajak umat Islam menjadikan kejayaan Salahuddin (1137-1193), antaranya pemimpin Islam membebaskan kota Baitulmaqdis daripada tentera salib, sebagai teladan kerana kecemerlangannya memimpin ummah sehingga kini sukar ditandingi.

Mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurd di Mesir dan Syria, Salahuddin terkenal di kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua serta ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kepahlawanan dan belas kasihannya ketika Perang Salib.

Mengimbas kebangkitan Salahuddin dan tenteranya sebagai watak pejuang agama dan pembebasan wilayah yang dijajah, beliau berkata, siapa yang dekat dengan Salahuddin mengenalinya sebagai seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun.

Katanya, sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin ketika peperangan sangat jauh berbeza daripada kekejaman tentera Kristian, malah ahli sejarah Kristian pun mengakui hal itu.

Mengikut sejarah, khalifah Abasiyyah mengisytiharkan Salahuddin sebagai Sultan Mesir pada Mei 1175 Masihi dan pada tahun itu juga beliau membina kota pertahanan di Kaherah.

Ketika berlaku perang Salib kedua pada 1187 Masihi, yang juga dikenali sebagai Perang Hittin dan dipimpin sendiri oleh Salahuddin hingga membuka jalan mudah untuk menawan kembali Baitulmaqdis.

Dendam dan kekecewaan golongan pembesar Kristian mencetuskan Perang Salib ketiga pada 1192 Masihi apabila mereka berusaha merampas semula Baitulmaqdis daripada orang Islam.

Walaupun perang Salib yang ketiga itu menggabungkan seluruh kekuatan negara Kristian, mereka gagal menggugat kekuatan tentera Salahuddin.

Pihak Kristian mengalami kekalahan apabila ramai tentera terbunuh dan tertawan. Baitulmaqdis yang dikuasai orang Kristian selama 88 tahun, dapat ditakluki semula oleh Salahuddin al-Ayubi.

Salahuddin meninggal dunia ketika berumur 55 tahun di Damsyik, Syria selepas memerintah selama 25 tahun tanpa meninggalkan sebarang harta untuk diwariskan.

Sebaliknya Salahuddin dikatakan hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas, tidak cukup untuk membeli kain kafan dan mengupah penggali makamnya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)