• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Umat Wajar Berani Lawan Arus Keluar Daripada Kemelesetan Eko

Oleh Abdul Razak Idris

EKONOMI dunia yang mengalami kemerosotan rentetan faktor domino ekonomi gergasi Amerika Syarikat sedang dalam proses dipulihkan. Amerika Syarikat sudah menjadi lubuk ekonomi didiami kapitalis yang fokusnya adalah wang dan untung semata-mata.

Sudah terang lagi bersuluh, orang berniaga sudah mesti inginkan untung tetapi bagaimana dengan kita orang Islam majoritinya dikenali sebagai masyarakat pengguna nombor satu melalui hari-hari mendatang.

Umat Islam perlu sedar bahawa kita tidak boleh berfikir untuk menjadi pak turut kepada suasana ekonomi tidak menentu yang banyak menekan dari segi kewangan. Ada yang berduit pada zaman ekonomi meletus kini tidak segan silu meminjam kepada yang berpotensi memberi pinjaman.

Ada juga yang pada masa meleset bertindak melawan arus. Ada yang berani membeli aset pada kala kadar pinjaman asas (BLR) dan kadar faedah semasa pinjaman tidak menentu. Lebih hebat lagi, ada membeli rumah lelong seumpama membeli kacang putih sedangkan ekonomi masa depan tidak menentu.

Orang Islam sebegini wajar dihormati kerana keyakinan diri yang tinggi. Perlu untuk kita berhijrah melawan kelaziman terutama dalam memperjuangkan ekonomi diri dan memakmurkan sistem kewangan negara.

Orang Islam perlu berubah dari saat ini bahawa kita mampu bangkit daripada kegagalan dengan usaha diri yang tidak mengenal jemu dan putus asa. Era kelembapan ekonomi yang menyaksikan ramai dibuang kerja atas faktor kekurangan pesanan produk elektrik dan elektronik dari Amerika Syarikat menuntut kita berpusing 360 darjah mencari kerja lain.

Berniaga dan terokai bidang yang kurangnya orang Islam sertai. Industri halal di negara kita sedang membangun dan kita adalah orang Islam dan hanya orang Islam yang layak untuk menyediakan makanan serta produk untuk orang Islam lain.

Makanan bukan sekadar makanan siap dimasak, ia juga merangkumi makanan halal seperti sayur-sayuran menggunakan cara penanaman pertanian Islam, penjagaan secara praktis Islam termasuk elemen pemasaran memerlukan umat Islam sebagai pekerjanya.

Bukankah yang halal dituntut oleh agama Islam dan yang haram dan syubhah dijauhi seboleh mungkin. Jadilah masyarakat pengguna yang pandai menggunakan kuasa kepenggunaan. Jangan kita terus-terusan menjadi pengguna yang pandai memprotes tetapi tidak mahu menggunakan akal untuk mencipta sendiri alternatif kepada ketidakpuasan hati sendiri.

Pengguna Islam perlu menjadi pengasas kepada pemerkasaan produk dihasilkan orang Islam sendiri dan bukan oleh individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan makanan untuk orang Islam tetapi mereka sendiri tidak beriman serta memiliki akidah Islamiah.

Masanya sudah bermula untuk kita sebagai umat Islam dan orang Melayu berazam berhijrah daripada kejumudan fikiran yang masih memiliki minda mengharapkan orang lain untuk memuaskan hati kita tetapi tidak berusaha memuaskan hati sendiri.

Jadilah orang Melayu dan Muslim yang tidak takut dilambung ombak dan menjadi tuan kepada nasib sendiri, bukan nasib dipertuankan. Buktikan orang Islam tidak boleh diperkotak-katikkan sesuka hati walau oleh bangsa sendiri yang bersifat pisang busuk dalam sesikat pisang yang elok.

Tekadkan azam dan berhijrah daripada nasib malang kepada masa depan lebih gemilang. Jangan dibiarkan nasib orang Islam terus-terusan ditentukan oleh dasar yang melemahkan minda kita untuk berkembang.

Kita mampu sebenarnya untuk melawan arus jika orang Melayu dan Islam berani menganggap kemiskinan satu dosa dan kita akan berusaha untuk tidak terjebak dalam 'dosa' itu. Berhijrah segera dengan keimanan kerana cuma orang yang berusaha menang akan menang dan yang masih lagi mengeluh untung nasib itulah kerjanya sepanjang tahun.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)