• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ummu Sinan Berkorban Harta

UMMU Sinan al-Aslamiyah adalah wanita daripada keturunan Aslam yang rela meninggalkan desa kelahirannya menuju ke Kota Madinah.

Ummu Sinan mengikut rombongan keturunan Aslam bagi memeluk agama Islam di hadapan Nabi Muhammad. Rombongan itu melafazkan janji setia kepada Nabi Muhammad.

"Kami beriman kepada Allah dan rasulnya. Kami akan mengikut segala perintahnya. Maka jadikanlah kami di sisi kamu kedudukan yang mana dengan kedudukan itu, bangsa Arab sedar akan keutamaan kami. Kami akan setia dan menolong kamu dalam waktu kesusahan mahu pun kesenangan," kata wakil rombongan Aslam kepada nabi.

"Aslam, Allah menyampaikan salam dan Ghifar, Allah mengampuninya." sabda nabi.

Ummu Sinan mempunyai pengaruh dalam jihad dan perang menentang pihak musuh Islam. Dia mempunyai pengetahuan yang lengkap mengenai peranan wanita dalam barisan perang.

Di samping itu, dia juga mahir merawat anggota tentera Islam yang cedera dan sakit. Ummu Sinan juga mempunyai pengalaman dalam menyertai beberapa peperangan dan menunggang kuda.

Ummu Sinan berjumpa dengan Nabi Muhammad ketika beliau mahu berangkat ke Khaibar untuk menentang orang Yahudi Khaibar. Dia mahu bertanya sesuatu kepada nabi yang berkaitan dengan dirinya yang ingin menyertai ekspedisi ke Khaibar.

"Ya Rasulullah! bolehkah saya ikut bersama kamu dalam perang kali ini. Saya ingin menjaga anggota tentera yang sakit dan mengubatnya. Ini termasuk merawat mereka yang cedera dan luka." pohon Ummu Sinan dengan satu harapan jauh di sudut hatinya.

"Ikutlah pasukan tentera Islam dengan berkat Allah. Sesungguhnya kamu mempunyai rakan-rakan dari keturunan kamu dan keturunan lain yang telah berbincang dengan saya tentang perkara ini. Saya mengizinkan mereka pergi bersama. Jika kamu mahu, ikutlah keturunan kamu dan boleh juga, mengikut kami," nabi memberi kebenaran kepada Ummu Sinan

"Ya Rasulullah, saya memilih untuk mengikut kamu," jawab Ummu Sinan.

"Kalau begitu, ikut bersama Ummu Salamah isteri saya."

Ummu Sinan sangat gembira dapat mengikut ekspedisi ke Khaibar. Dia melihat pertempuran yang hebat antara pasukan tentera Islam dengan pasukan Yahudi Khaibar.

Ramai tentera Islam yang cedera dalam pertempuran tersebut akibat asakan bertubi-tubi dari pihak tentera Yahudi Khaibar yang bersembunyi dalam kubu-kubu yang telah dibina oleh mereka untuk menangkis serangan tentera Islam. Hujanan anak panah yang tak henti dari kubu tentera Yahudi menyebabkan ramai tentera Islam mengalami kecederaan di tubuh mereka.

"Saya harus mengubat luka tentera Islam yang kena anak panah ini agar mereka tidak jatuh sakit. Saya tahu petua keturunan Aslam yang boleh mengubat luka yang terkena anak panah, pedang dan tombak.

"Mana dia bahan-bahan yang perlu saya campurkan untuk mengubat luka mereka ini" Ummu Sinan tidak menang tahan mengubat anggota tentera Islam yang mendapat kecederaan akibat pertempuran dengan pihak musuh.

Ummu Sinan bersama-sama Ummu Salamah, Safiyah binti Abdul Mutalib, Ummu Aiman, Nasibah Kaab, Ummu Mani, Ummu Sulaim, Kaibah binti Aslamiyah, Ummu Mutha, Ummu Adh-Dhahhah, Hindun binti Amr, Ummul Ala, Ummu Amir, Ummu Athiyah, Ummu Sulaith Umaimah telah bersatu untuk merawat dan mengubat anggota-anggota tentera yang cedera.

Ummu Sinan memainkan peranan penting dalam pernikahan antara Safiyah binti Huyai dengan nabi dalam Perang Khaibar. Dia telah menyikat dan meminyaki rambut Safiyah sebelum majlis pernikahan berlangsung.

Safiyah sangat gembira dapat bernikah dengan Nabi Muhammad yang telah menukar hidupnya menjadi Ummul Mukminin.

Pasukan tentera Islam yang mencapai kemenangan gemilang di Khaibar pulang semula ke Madinah membawa harta rampasan perang yang banyak. Ummu Sinan yang menaiki salah satu ekor unta milik nabi berada di belakang Ummu Salamah ketika rombongan itu memasuki Madinah.

"Rasulullah memberikan unta tunggangannya kepada kamu," kata Ummu Salamah kepada Ummu Sinan.

"Syukur Alhamdulillah," Ummu Sinan menadah tangan kesyukuran.

Unta itu dibawa oleh Ummu Sinan ke pasar lalu dijual dengan harga beberapa dinar. Dia berasa gembira mendapat banyak keberkatan kerana menyertai ekspedisi peperangan menentang orang Yahudi Khaibar. Dia berazam lagi untuk menyertai peperangan lain untuk menentang pihak musuh Islam.

Perang Tabuk berlaku pada tahun 9 Hijrah antara pasukan tentera Islam dengan pasukan gabungan tentera Rom, keturunan Lakham, Judam, Amilah dan Ghassan.

Nabi Muhammad mengajak semua umat Islam di Madinah untuk bersedekah untuk membantu pasukan tentera Islam membuat persiapan rapi untuk menghadapi Perang Tabuk.

Nabi tidak membenarkan kaum wanita untuk menyertai peperangan ini dengan mengatakan Perang Tabuk berlaku pada musim kemarau dan cuaca yang sangat panas.

Kaum wanita Islam boleh berjihad dengan mendermakan harta mereka untuk membantu kelengkapan dan bekal para pejuang tentera Islam.

Mereka datang membawa apa sahaja yang mereka miliki. Mereka melemparkan sehelai kain di hadapan nabi yang penuh dengan pelbagai perhiasan seperti gelang, anting-anting, cincin dan barang perhiasan lain.

Walaupun tak bergabung dengan pasukan tentera Islam ke Tabuk, namun mereka berharap mendapat seperti apa yang dikatakan oleh nabi, " Siapa yang memperlengkapkan orang yang berperang di jalan Allah, bererti dia telah berperang."

Ummu Sinan turut menghulurkan apa sahaja yang dimilikinya untuk mendapat pahala dan ganjaran seperti yang dikatakan oleh Nabi Muhammad.

Walaupun hatinya sedih tidak dapat mengikut ekspedisi ketenteraan ke Tabuk namun kata-kata nabi telah mengubat kesedihannya itu. Begitulah semangat dan keberanian yang ditunjukkan oleh Ummu Sinan yang sentiasa mencari keredaan Allah dalam memerangi musuh Islam.

Nabi juga memberi arahan kepada kaum wanita dan membimbing mereka dalam bidang pendidikan supaya berakhlak mulia dan menjauhkan daripada penampilan diri yang kurang baik.

Beliau pernah menegur Ummu Sinan yang mewarnakan tangannya lalu berkata, "Tidak sepatutnya seseorang daripada kamu, para wanita mengganti kuku-kukunya dan mewarnai tangannya. Ummu Sinan patuh pada teguran nabi yang lembut itu untuk mencari keredaan Allah dan rasulnya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)