• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Undang Bala Allah

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

LANGGAR FITRAH...di negara barat terdapat golongan yang berkahwin sejenis. CUKUP malang bagi sebilangan manusia pada akhir zaman ini yang kian hanyut kerana memilih jalan gelap dan bersalahan dengan nilai moral sebagai manusia.

Fitrah hidup secara berpasangan-pasangan antara lelaki dan wanita ditentang dan ditolak kerana berasakan nikmat berkasih sayang serta cinta itu lebih bermakna buat pasangan sejenis dengannya.

BANTAH...umat Islam di negara ini tidak berkompromi kepada golongan yang cuba menuntut hak asasi mengamalkan kebebasan dan gaya hidup songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual.
Meskipun arif mengenai halal, haram, baik dan buruk malah diberikan didikan agama sempurna tetapi kenapakah gaya hidup songsang juga dipilih?

Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan usaha pihak tidak bertanggungjawab menuntut mahu menganjurkan program Seksualiti Merdeka 2011.

Program yang membawa tema ‘Queer Without Fear’ itu berteraskan perjuangan menuntut hak asasi bagi mengamalkan kebebasan dan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) secara sah dan terbuka di negara ini.

Bagi orang awam, bantahan yang dikemukakan itu memang bertepatan bagi mengelak diri daripada memberi pengiktirafan kepada ‘keinginan’ kumpulan yang memperjuangkan perkara mengelirukan dan membawa kemudaratan.

Tiada istilah prejudis atau tidak menghormati tuntutan orang lain kerana perjuangan golongan itu jelas melanggar peradaban manusia selain seluruh umat Islam bimbang ia bakal mengundang bala daripada Allah.

Apa saja alasan dan cara menggalakkannya perlu dihentikan kerana ia memberi implikasi buruk pada masa akan datang. Jika menganggap golongan berkenaan sebagai ‘berpenyakit’ sekalipun pasti ada jalan dan cara lain untuk merawatnya.

Terbukti tiada satu agama pun merestui aktiviti atau hak untuk menikmati hubungan sejenis malah Islam sendiri menceritakan beberapa kisah pengajaran kaum dan golongan yang ditimpa bala atas perbuatan terkutuk mereka.

Hinggakan kaum dan kawasan yang mereka diami lenyap dari muka bumi ini. Amat dahsyat kemurkaan Allah kepada kaum golongan pengamal seks songsang.

Bala Allah tidak mengira sesiapa pun sama ada mereka lakukan atau tidak tetapi ia diturunkan kepada keseluruhan umat yang hidup dalam lingkungan masyarakat mengamalkan amalan terkutuk itu.

Lihat saja, bukti yang termaktub dalam Al-Quran mengenai kisah kaum Nabi Luth yang dilenyapkan dari muka bumi ini. Kisah itu perlu dijadikan iktibar buat seluruh umat masa kini.

Tidak kiralah mereka mengamalkan gaya hidup lesbian, biseksual, transeksual atau apa saja dorongan seksual songsang lain. Dalam kisah Nabi Luth, Allah menurunkan hujan batu dan batu dari tanah liat yang panas berapi serta gempa bumi dengan kekuatan bunyi yang menggegar pada ketika matahari terbit.

Allah berfirman yang bermaksud: “Lalu suara guruh (bunyi bumi yang gempa) menimpa mereka ketika matahari terbit.” (Surah al-Hijr ayat 73).

Dalam ayat 81 surah al-Aaraf Allah berfirman yang bermaksud: “Kepada orang-orang lelaki, tidak kepada perempuan-perempuan. Memang kamu semua kaum yang melampaui batas.” (Surah al-Aaraf ayat 81).

“Dan kami turunkan hujan (hujan batu) kepada mereka. Maka perhatikanlah akibatnya orang-orang melampaui batas.” (Surah al-Aaraf ayat 84).

Sememangnya ia isu sensitif bagi masyarakat di negara ini yang majoritinya Islam ditambah pula pelbagai pihak memberi maklum balas membantahnya sama ada ia diadakan secara senyap apatah lagi secara terang-terangan.

Seks adalah cabang kehidupan yang diiktiraf Islam. Ia dikira ibadah bagi memenuhi tuntutan manusia antara lelaki dan perempuan.

Tidak timbul juga setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini memiliki naluri untuk ‘bersama’ dengan pasangan sesama jantina jauh sekali mengahwininya.

Jika membincangkan soal hak asasi jangan pula diheret sama permintaan dan tuntutan sedemikian rupa. Mempromosikan keinginan kebebasan seksual secara terbuka itu tetap melanggari adab dan budaya bangsa masyarakat di negara ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fadlan Mohd Othman berkata penyokong Seksualiti Merdeka yang menyangka perhimpunan itu hanya acara perbincangan dan sesi bertukar pendapat mengenai isu kesongsangan gender semata-mata adalah tidak benar.

“Melihat kepada tentatif programnya didapati ada beberapa acara memupuk semangat berani menunjukkan identiti songsang yang jelas bersalahan dengan ajaran agama Samawi dan naluri suci manusia.

“Islam mengajar kita perkara yang diperlukan termasuklah urusan berkaitan gender. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 36 yang bermaksud: “Dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan.”

“Rasulullah menekankan permasalahan ini dengan memberi garis panduan di mana pendidikan anak lelaki dan perempuan perlu diasingkan tempat tidur antara mereka.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Arahkan anak-anak kamu untuk solat semasa umur mereka tujuh tahun, dan pukul mereka untuk solat semasa umur mereka 10 tahun, serta pisahkan tempat tidur mereka. (riwayat Abu Daud).

“Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah menyelar golongan yang songsang, iaitu lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.

“Abdullah bin al-Abbas berkata yang bermaksud: Rasulullah s.a.w melaknat orang lelaki yang berlagak seperti perempuan dan orang perempuan yang berlagak seperti lelaki. (riwayat Al-Bukhari).

“Justeru, apa saja yang diperjuangkan golongan ini adalah satu sifat keji yang mengundang laknat daripada Allah.” katanya.

Beliau berkata dalam membicarakan hak asasi manusia Islam terbukti ajaran yang mempertahankannya secara benar.

“Perkara ini dapat dilihat apabila Islam memartabatkan wanita pada tempat selayaknya. Kesejahteraan umat manusia hanya tercapai jika tidak menyamakan dua perkara berbeza dan tidak juga membezakan dua perkara yang sama.

“Di dalam permasalahan gender, lelaki dan perempuan adalah sama dari sudut tanggungjawab beribadat kepada Allah. Sama juga dari sudut mendapat hak sebagai rakyat di bawah satu pemerintahan.

“Tetapi, lelaki dan wanita berbeza dari sudut tanggungjawab ibadah seperti solat berjemaah, batasan aurat, kewajipan berjihad dan kepemimpinan yang semuanya dijelaskan dalam ajaran Islam,” katanya.

Fadlan berkata bagi menangani tuntutan seperti perhimpunan Seksualiti Merdeka itu cara terbaik adalah merealisasikan usaha nasihat-menasihati seperti yang dinyatakan Rasulullah s.a.w.

“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Agama ini adalah nasihat. Kami bertanya, Untuk siapa? Katanya, Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin Islam dan orang awam Islam. (riwayat Muslim).

“Manakala Imam al-Nawawi menyatakan erti nasihat di dalam hadis ini sebagai menginginkan kebaikan untuk pihak yang dinasihati.

“Inilah yang perlu dilakukan. Segenap lapisan masyarakat tidak kira pemimpin atau rakyat mestilah membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Menurut Fadlan, sikap manusia sebenarnya adalah hasil pembawaan daripada ibu bapa, masyarakat sekeliling serta pemerintah.

“Bayi yang dilahirkan dalam keluarga yang komited dengan Islam pastinya diajar mengenai Islam. Sebaliknya, bayi yang dilahirkan dalam keluarga bukan Islam diajar mengenai ajaran mereka.

“Begitu jugalah keadaannya dengan perasaan. Perkara ini boleh dibaca dan dipelajari dari pakar psikologi di mana perasaan anak kecil itu tertakluk kepada penjaganya.

“Persoalan sekarang adakah individu songsang ini menerima didikan yang salah daripada ibu bapa mereka dan siapakah yang berdosa dalam hal ini? Jawapannya adalah penjaga kerana tidak mendidik anak itu mengikut acuan Islam.

“Justeru, ibu bapa perlu segera bertaubat. Anak kecil yang membesar dalam ‘kesilapan didikan’ ini jika mereka dapat mengenal pasti kesilapan itu maka kembalilah ke pangkal jalan yang menepati fitrah asal kejadiannya,” katanya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap anak Adam banyak melakukan kesalahan dan yang terbaik di kalangan mereka yang banyak melakukan kesalahan ialah yang banyak bertaubat. (riwayat al-Tirmizi).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)