• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Undang-undang Tuhan

Soal perlunya undang-undang tidak ada siapa yang menolaknya. Undang-undang itu perlu untuk membendung kejahatan, peperangan dan sebagainya. Semua orang mengharap kehidupan yang aman, damai dan harmoni. Tetapi bila undang-undang tersebut mula hendak disusun atau digubal, belum pun peringkat perlaksanaan tapi sudah mula timbul perbalahan, krisis, mencetuskan kejahatan atau masalah.

Perbalahan ini terjadi sebab undang-undang yang hendak dibuat itu atas pelbagai dasar iaitu:
1. Ada yang berdasarkan akal.
2. Setengah golongan menggunakan fitrah.
3. Setengah golongan menggabungkan akal dengan fitrah.
4. Setengah golongan atas dasar ideologi.
5. Sesetengahnya atas tujuan kepentingan sesuatu kelompok dan hendak menekan kelompok yang lain.

Maka sebab itu timbul krisis walhal undang-undang belum dikuatkuasakan lagi. Bila diamalkan atau dikuatkuasakan, timbul lagi krisis kerana:
1. Ada puak tidak puas hati apabila ada orang yang tidak bersalah dihukum mengikut peraturan undang-undang itu.
2. Hukuman yang dijatuhkan tidak seimbang dengan kesalahan menyebabkan ada golongan terasa teraniaya kerana bila peraturan itu digubal berlakulah:
a. Hukuman ringan bagi kesalahan yang berat.
b. Hukuman berat bagi kesalahan yang ringan.
Maka berlakulah kejahatan.

Sejak adanya undang-undang yang sudah beratus ribu tahun dilaksanakan itu, semakin banyak kejahatan, pergaduhan dan sebagainya. Diharapkan undang-undang itu dapat membendung kejahatan tetapi tidak sampai matlamat. Ia tidak dapat memberi kesan kerana:
1. Tuhanlah yang berhak membuat undang-undang kerana Tuhan yang menciptakan manusia dan dunia ini
Manusia mengambil hak (kuasa) Tuhan. Maka Tuhan berlepas diri. Inilah sebenarnya punca masalah sekarang. Oleh kerana manusia yang membuat undang-undang dan peraturan, seolah-olah hendak menjadi Tuhan dan hendak mengambil alih peranan Tuhan maka Tuhan berlepas diri. Maka undang-undang yang dibuat itu tidak ada berkat. Undang-undang itu menipu diri. Itulah rahsia tersembunyi dan tersirat yang menyebabkan semakin banyak undang-undang, semakin banyak kejahatan dan jenayah.

Inilah faktor terbesar kegagalan undang-undang bikinan manusia. Ahli undang-undang hanya mampu mencari punca-punca lahiriah sedangkan mereka tidak nampak punca terbesar. Seolah-olah Tuhan berkata: "Engkau hendak jadi Tuhan, engkau tidak mahu jadikan Aku Tuhan."
Mana boleh manusia yang bukan tuhan hendak jadi Tuhan, tentu akan gagal. Itulah kegagalan yang ahli undang-undang tidak nampak. Itu jugalah yang menyebabkan undang-undang tidak memberi kesan sebaliknya menambahkan penyakit.

2. Kemampuan akal sangat terbatas
Oleh kerana orang yang membuat undang-undang berdasarkan akal semata-mata, akal yang tidak nampak kebenaran itu menyebabkan:
a. Kesalahan yang kecil dihukum berat manakala kesalahan berat dihukum ringan.
Akibatnya orang yang tidak puas hati memberontak dan menyimpan dendam kesumat lalu hendak bertindak balas. Mereka tidak hormat kepada orang yang membuat undang-undang. Bahkan orang yang membuat undang-undang pun banyak buat salah.
b. Oleh kerana kemampuan akal tidak sampai ke mana maka ada kes yang jahat, dikategorikan tidak jahat. Sebaliknya, ada kes tidak jahat, dikategorikan jahat.

Akal ada kepentingan. Contohnya, orang tidak jahat dianggap jahat. Ada pemimpin yang berkuasa di sebuah negara, jika ada pemimpin lain yang menggugat kepentingannya; bukan semestinya kepentingan rakyat atau negara; demi hendak mempertahankan kedudukan dan kepentingannya maka dia mentafsirkan pemimpin itu menggugat negara, lalu dipenjarakan. Bila terjadi demikian, berapa ramai orang yang gelisah. Lebih-lebih lagi yang kena hukum. Dari situ lahir lagi kejahatan. Kejahatan tidak dapat dihentikan tapi bertambah-tambah.

Contoh lain, orang yang tidak jahat dianggap jahat kerana menggugat pemimpin. Untuk menyenangkan tindakan maka diisytiharkan orang itu menggugat keselamatan negara. Sebaliknya pula, kes-kes jahat yang dibuat kerana hendak mempertahankan pemimpin atau kumpulannya yang terdorong oleh kejahatan nafsu ditafsirkan tidak jahat. Berlaku demikian kerana di situ pemimpin itu dapat untung. Misalnya pergaulan bebas. Dibolehkan kerana pemimpin itu juga ikut sama terlibat. Pemimpin faham kalau muda-mudi lalai, mudahlah dia menonjolkan dirinya.
Bila orang yang jahat dianggap tidak jahat, maka lahirlah lebih banyak kejahatan lagi. Undang-undang tidak mampu membendung kejahatan itu bahkan ia bertambah.

POKOK KEJAHATAN
Orang yang buat undang-undang berdasarkan fitrah dan akal, mereka ada kepentingan. Apabila melihat kejahatan barulah dikatakan jahat. Mereka tidak nampak kejahatan dari puncanya. Mereka sebenarnya tidak tahu mencari punca kejahatan. Punca kejahatan itu lebih bahaya dan punca itulah sepatutnya dihukum. Padahal sebelum lahirnya kejahatan itu pokoknya sudah ada tetapi mereka tidak nampak pokok itu. Pokok itu mengeluarkan buah yang pahit. Selagi pokok itu masih ada, ia akan terus mengeluarkan buahnya yang pahit. Jika ditebang pokok, selesailah masalah tetapi ahli undang-undang tidak nampak pokok sebagai masalah. Mereka bergaduh pasal buah, tidak bergaduh pasal pokok padahal dari pokok itulah lahirnya buah-buah kejahatan.
Pokok kejahatan ada dua iaitu:
1. lahir
2. batin

POKOK LAHIR
Pokok kejahatan yang lahir itu walau tidak dirujuk kepada syariat pun, iaitu sekadar menggunakan akal atau fitrah murni, ia boleh dilihat atau dikenal pasti. Di peringkal awal mungkin tidak jelas tetapi setelah dibahas, maka ia boleh dilihat. Ertinya ada kejahatan yang tidak boleh dilihat, yang akan melahirkan kejadian zina, rogol, kidnap dan akhirnya mangsa dibunuh kerana takut perbuatannya diketahui dan dihukum. Asalnya dari pergaulan bebas yang tidak dianggap salah. Bila telah lahir kejahatan baru dianggap salah. Tentulah tidak munasabah. Pokoklah yang melahirkan buah yang tidak betul. Pergaulan bebas adalah pokok yang melahirkan zina, rogol, kidnap dan sebagainya. Tetapi pokok itu dibelai hingga lahirlah kejahatan. Lihatlah betapa singkatnya manusia berfikir.
Pendedahan aurat dalam TV, surat khabar dan majalah adalah pokok yang melahirkan buah kejahatan. Itu boleh dilihat tetapi ramai yang tidak sedar bahawa itu adalah pokok.

POKOK BATIN
Yang lebih dahsyat lagi ialah pokok kejahatan yang bersifat batin yakni mazmumah. Mana manusia ambil tahu tentang mazmumah malah mereka tidak pernah fikir tentang mazmumah. Setiap hari mazmumah disuburkan seperti ego, hasad dengki, mengumpat, pemarah, gila nama, gila glamor dan sombong. Dari situ lahirlah kejahatan atau maksiat. Bila berlaku kejahatan dan maksiat, orang lain sakit hati. Orang yang hendak glamor dan hendak megah menyebabkan banyak orang marah. Bertambah-tambah (beranak) lagi kejahatan. Dari mazmumah lahirlah kejahatan termasuk yang dahulunya tidak pernah ada seperti ketagihan dadah dan sumbang mahram.
Oleh sebab tidak nampak pokoknya maka tidak ada akta yang dibuat untuk menyekatnya. Setelah lahir kejahatan maka lahirlah undang-undang. Tapi sudah terlambat. Ia sudah tidak dapat lagi menyekat kejahatan itu bahkan beranak-pinak kejahatan itu merata-rata.
Kalau kejahatan itu kecil, bolehlah dikawal tetapi kalau umum sudah jahat, tidak akan dapat dibendung dengan undang-undang lagi. Sehinggalah kepada satu peringkat, semua orang gelisah dan ingin kembali kepada fitrahnya. Barulah dia kenal dirinya. Mereka mula merujuk kepada Tuhan dan berkata, "Hai Tuhan, bilakah masalah ini hendak selesai. Pemimpin dan ulama tidak boleh menyelesaikan masalah. Hai Tuhan, datangkanlah tangan yang boleh menyelesaikan masalah ini, yang kekuatannya bagaikan tangan besi."
Bila semua sudah teruk mulalah mereka kembali kepada Tuhan kerana manusia tahu Tuhan yang akan menyelesaikan masalah melalui tangan orang-Nya.
Kemudian datang perasaan kedua, "Tuhan, lahirkanlah seorang pemimpin yang bertindak untuk menyelesaikan masalah kami." Apabila sudah begitu hati manusia maka Allah akan datangkan rasul. Bila rasul sudah tidak ada, maka diutuskan mujaddid.
Persoalan yang timbul, bolehkah semua bangsa dan agama menerima Islam dan syariatnya? Ini perlu dibuat penganalisaan. Faktor asasnya untuk mereka boleh terima adalah:

1. Taqwa
Bila pemimpin yang memerintah itu taqwanya cukup, Tuhan memberi jaminan akan menolongnya. Tuhan akan datangkan bantuan, akan dijalinkan kasih sayang dan perpaduan. Terbukti dalam sejarah, waktu orang Islam baik, berakhlak, berkasih sayang maka semua orang hormat. Bila tentera Islam datang ke negara orang bukan Islam, mereka sambut dengan baik sehingga mereka tidak peduli lagi pemimpin dan pendeta-pendeta mereka. Mereka sudah jemu dengan hidup yang bermasalah dan hendakkan sesuatu yang baru.
Sayidina Umar menghantar seorang sahaja wakilnya ke Iraq, tanpa tentera. Sedangkan negara itu belum Islam lagi. Tetapi orang Kristian, Majusi dan Yahudi boleh terima. Oleh kerana wakil yang datang itu membawa taqwa dan dia adalah orang Tuhan, maka Tuhan jaga. Itulah faktor asas yang utama.

2. Janji Tuhan
Di zaman Sayidina Umar Abdul Aziz, pertolongan Tuhan kepadanya adalah atas dasar dia itu mujaddid yang dijanjikan di kurunnya, di samping dia sendiri adalah orang yang bertaqwa. Pemerintahannya sangat selesa kerana rakyatnya sangat patuh, sekalipun yang bukan Islam. Kerana taqwa, Allah janjikan pertolongan.

Inilah dua faktor yang utama. Selain dari dua faktor ini, itu adalah faktor tambahan sahaja.

3. Usaha
Bila faktor taqwa yang menjadi asas untuk manusia tunduk, dicampur dengan usaha maka sudah tidak susah. Tinggal manusia hendak faham apa itu taqwa dan apa itu undang-undang baru. Kalau faktor asas tidak ada, baru hendak buka mulut, orang sudah sanggah. Belum lagi dilaksanakan, sudah huru-hara. Sebab itu faktor asas perlu ada.

Di zaman tidak ada janji Tuhan maka faktor taqwa adalah utama. Di zaman ada janji Allah, maka taqwa dan janji adalah asas. Diharap dengan usaha sekitar 10% sahaja, orang akan terima.

Bagaimana hendak berbuat dengan faktor usaha?
a. Berdasarkan syariat Islam
Mesti ada saddu az zara'i dahulu - ertinya menyekat saluran orang membuat jahat secara zahir atau batin. Yang mana selama ini ahli undang-undang tidak nampak. Malahan orang Islam sendiri pun tidak nampak. Contohnya: Kita tidak suka berlaku rogol, kidnap dan zina. Kita kenalah potong pokoknya dahulu sebelum ia berbuah. Ertinya kita larang pergaulan bebas lelaki perempuan. Selepas itu barulah dibacakan undang-undang atau peraturan, falsafahnya, hukumannya, kenapa dan mengapa.

Di antara peraturan lain adalah:
- Melarang gambar lucah di surat khabar atau media massa yang terbuka.
- Orang Islam tidak boleh mendedahkan aurat. Kalau bukan Islam diberikan kelonggaran tapi tidak boleh menjolok mata. Jadi kita kena buat satu kaedah yang semua orang boleh terima. Pakaian yang menjolok mata sebagaimana diterima pendapat ramai bahawa mendedahkan paha adalah bahaya dan boleh menaikkan nafsu, tentu ramai yang tidak akan menolak.

b. Kempen semula tentang Tuhan
Walaupun tidak semua orang bukan Islam akan masuk Islam namun mereka semua boleh terima dan tidak prejudis tentang Islam. Tanamkan semula cinta dan takutkan Tuhan. Tuhan adalah keperluan bersama. Kalau di TV sebelum mengiklan barang, hendaklah iklan Tuhan dahulu. Selain itu, boleh menggunakan sticker untuk mempamerkan madah, slogan dan sebagainya untuk kempen Tuhan. Cinta dan takutkan Tuhan adalah kunci penghalang orang berbuat jahat. Itu termasuk saddu az zara'i yang bersifat rohaniah. Membuat undang-undang adalah usaha lahiriah.

Kita kena tahu bukan semua undang-undang yang ada hendak dimansuhkan. Mana-mana yang sesuai dengan Islam diteruskan cuma diberi roh sebagai akar tunjangnya supaya orang hormat undang-undang atas dasar Tuhan. Kalau atas dasar undang-undang semata-mata, sandarannya tidak kuat. Bila tidak ada polis, orang langgar juga peraturan. Apabila diberikan teras iaitu bertunjangkan Tuhan, manusia bukan hormat undang-undang tetapi mematuhi undang-undang kerana hormatkan Tuhan yang membuat undang-undang.Bahkan waktu itu kalau ada pemimpin yang bertaqwa, orang kafir pun malu hendak melanggar undang-undang. Bila teringat pemimpin itu dan dia tahu pemimpin itu tidak suka apa yang dia buat, dia akan malu untuk minum arak, seperti yang berlaku dalam sejarah di zaman Khalifah Umar Al Khattab.

Berdasarkan huraian tadi, tidak syak lagi bahawa orang bukan Islam boleh menerima undang-undang Islam. Jadi bila orang boleh terima dan patuh dengan peraturan, maksudnya orang tidak buat jenayah, akhirnya masyarakat bersih dari jenayah. Bila bersih dari jenayah maka wujudlah keamanan dan keharmonian. Manusia rasa selesa dan bahagia seperti yang digambarkan dalam ayat:

Maksudnya: "Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah." (Saba': 15)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)