• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Urus Mayat Bapa Bukan Islam

SOALAN:
Ayah mertua saya seorang Kristian dan dia tinggal bersama saya dan isteri (anak angkat). Apabila dia meninggal dunia tempoh hari, saya telah bertanya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sarawak mengenai perkara yang patut saya buat.

Kata mereka, saya boleh uruskan asalkan tidak mengikut cara penganut Kristian mengurus mayat. Mayat berada di rumah selama dua malam disebab kekurangan kakitangan pihak gereja untuk menguruskan pengkebumian pada hari berikutnya.

Malam sebelum upacara pengkebumian diadakan upacara menghormati jenazah (ini merupakan upacara yang mesti mereka laksanakan mengikut adat Iban dengan berwakilkan beberapa orang yang tahu latar belakang si mati dengan mengimbas kembali segala kebaikan yang telah si mati lakukan semasa hidupnya).

Ini semuanya dilakukan di rumah kami. Saya telah mendapat bantuan rakan Kristian membantu pengurusan mayat tapi segala perbelanjaan adalah ditanggung oleh kami.

Sembahyang mayat dilakukan di sebuah gereja yang berhampiran kemudian terus ke tanah perkuburan. Masalah mulai timbul apabila saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak berkuasa agama mengenai pemasangan lilin dan meletakkan jambak bunga di pusara si mati. Mereka memberitahu saya ia haram, si mati hanya mempunyai isteri saya sahaja yang tinggal sanak saudara isteri semuanya menjauhkan diri dan abang angkat isteri memang tidak ingin mempunyai hubungan dengan si mati.

Demi perikemanusiaan saya isteri tetap juga menziarahi kubur si mati pada masa-masa tertentu. Apakah pendapat ustaz tentang kemusykilan yang saya hadapi ini?

JAWAPAN:

Dalam Islam kita sangat dituntut menghormati antara satu dengan yang lain, lebih-lebih lagi agama Islam adalah agama rahmat, pastinya setiap orang yang bergaul dengan kita beroleh kebaikan dari limpahan rahmat agama Islam itu sendiri.

Melalui apa yang saudara ceritakan, saya percaya tindakan saudara tidak melanggar syariat Allah SWT. Sebelum bertindak saudara telah pun mendapatkan pandangan dari Jakim Sarawak dalam mendapatkan penjelasan apa yang boleh dibuat dan apa yang perlu dielak.

Berdasarkan kepada panduan, saudara telah menguruskan jenazah ayah mertua mengikut cara orang Kristian dan diuruskan sendiri oleh orang Kristian. Tidak ramai yang memahami cabaran yang dihadapi oleh saudara beserta ahli keluarga Islam yang lain. Lebih-lebih lagi bila ahli keluarga kita masih beragama selain Islam.

Biarpun kita telah mendapat hidayah menganut agama Islam, ini tidak bererti kita telah putus perhubungan anak-beranak atau adik-beradik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (al-'Ankabut: 8).

Dalam konteks ayat ini, Allah SWT memerintahkan seseorang yang telah menganut Islam supaya berbuat baik kepada ibu bapa mereka selagi mereka tidak menyuruh melakukan perbuatan syirik kepada Allah SWT.

Bagi saya, menguruskan jenazah ibu bapa yang tidak beragama Islam juga merupakan tanggungjawab serta penghormatan seorang anak kepada kedua ibu bapanya.

Apatah lagi, Islam melalui al-Quran dan pedoman rasul-Nya sangat menuntut kita berakhlak mulia dengan setiap manusia. Dalam sirah kehidupan Baginda, Rasulullah juga berbuat baik kepada bapa saudaranya Abu Talib, baginda juga mendampinginya ketika nazak sambil mengajak Abu Talib kepada Islam.

Hadis lain yang menggambarkan kewajipan berihsan dan melayan baik kedua-dua orang tua meskipun berlainan agama ialah yang diriwayatkan daripada Asma' Abu Bakar r.a. maksudnya: Pada zaman Rasulullah SAW ibuku yang masih musyrik suatu hari datang mengunjungiku. Lalu aku meminta fatwa daripada Rasulullah: "(Ibuku datang) dalam keadaan senang hati, apakah aku masih perlu meneruskan hubunganku dengan ibuku?" Baginda SAW bersabda: "Ya, teruskanlah hubunganmu dengan ibumu (seperti biasa)". (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil ini, seseorang anak perlu meneruskan hubungan yang baik dengan ibu bapa yang bukan Islam sungguhpun anak dan ibu bapa berlainan agama.

Oleh itu, apabila berbicara dengan mereka, si anak hendaklah berbicara dengan lemah lembut, penuh sopan santun dan menunjukkan rasa mahabbah. Apabila memanggil mereka, panggillah dengan perkataan yang menyedapkan hati mereka.

Berilah mereka petunjuk pada perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan seperti mana panduan Islam dalam bab ini.

Sudut kemanusiaan

Kita tidak mahu Islam dituduh sebagai agama yang memisahkan hubungan anak-beranak atau adik beradik. Kita harus tonjolkan bahawa Islam tidak membenci penganut agama lain malahan dari sudut kemanusiaan kita adalah sama biarpun yang memisahkan kita ialah pegangan hidup.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun bermaksud: Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (al-Kafirun: 6)

Apa yang penting dalam kita bergaul dengan saudara mara, kenalan dan sahabat handai ialah kita tidak menyembah apa yang dia sembah serta mengelakkan perkara-perkara yang melibatkan hal-hal yang bertentangan dengan ajaran agama Islam terutamanya dalam bab akidah.

Persoalan meletakkan bunga di pusara bapa mertua dan hukum berkaitan dengannya; adalah lebih baik jika saudara tidak melakukan upacara membakar lilin dan meletakkan bunga di kubur mereka yang bukan Islam biarpun di kubur ibu atau ayah sendiri.

Walaupun dari segi zahirnya tidak kelihatan apa-apa yang bertentangan dengan Islam tetapi ia juga boleh membawa fitnah dari sudut kaitannya dengan budaya agama lain atau upacara etnik tertentu yang boleh mengelirukan status Muslim saudara.

Ziarah kubur ayah mertua yang bukan Islam tidak salah, hanya sekadar ziarah dan bukan melakukan acara-acara ritual keagamaan yang lain terutama yang boleh dikaitkan secara khas dengan ajaran agama tertentu selain agama Islam.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)