• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Usah Pinggir Mereka!

Oleh Azam Aziz dan Zaid Salim
am@hmetro.com.my

REMAJA adalah tahap kehidupan yang penuh dengan pancaroba. Ketika ini, usia masih muda, tenaga gagah perkasa dan nafsu meluap-luap.

Tidak hairanlah, tanpa bimbingan ibu bapa, golongan remaja mudah terjebak ke lembah maksiat dan gejala sosial yang membimbangkan.


Gejala seks bebas, rempit, bohsia, penyalahgunaan dadah, rogol, mengambil minuman keras, merokok, bergaduh, ponteng sekolah dan kes jenayah tidak dapat dipisahkan dengan remaja.

Masalah sosial ini berlaku di mana-mana negara di dunia tetapi jika tidak ditangani secara bijak, ia ibarat api dalam sekam malah boleh menjadi barah yang kelak membahayakan masyarakat.

Kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk membanteras gejala sosial di kalangan remaja tetapi hasilnya masih kurang memuaskan.

Persoalannya, mengapa gejala ini berleluasa dan menjadi kudis dalam masyarakat?

Apakah kaedah sedia ada kurang berkesan menangani gejala sosial di kalangan remaja? Bagaimana dengan pendekatan Islam?

Pendakwah bebas, Ustaz Zawawi Yusoh, berkata Islam adalah agama lengkap yang menyediakan kaedah penyelesaian terhadap semua masalah masyarakat. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah al-Talaq: 2-3).

“Jiwa remaja Islam perlu sentiasa dibimbing dan diperingatkan mengenai asal-usul mereka dicipta dan dilantik sebagai khalifah di muka bumi ini.

“Mereka mempunyai peranan besar jika digilap dengan baik tetapi jika dibiarkan hasilnya seperti lilin yang tidak mempunyai apa-apa selepas api padam,” katanya.

Beliau berkata demikian di program Diskusi Ad-din bertajuk ‘Gejala Sosial Remaja, Cara Islam Pendekatan Terbaik Menanganinya’ sempena Karnival GegaRia Metro 2009 di Dataran Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Terengganu baru-baru ini.

Perbincangan dipengerusikan Pegawai Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Zamannudin Jusoh dan disertai Penolong Pengarah Jakim, Ustaz Zamihan Mat Zin.

Zawawi berkata, persepsi masyarakat terhadap golongan itu perlu diubah dengan mendekati mereka dan bukan meminggirkan kerana sikap itu hanya menjadikan keadaan lebih parah.

Justeru, katanya perlunya ada bimbingan semua pihak untuk membantu mereka mencari hala tuju supaya tidak lari daripada norma kehidupan sebagai umat Islam.

“Masalah keruntuhan akhlak remaja masa kini kebanyakannya tidak dapat lari daripada kepincangan pendidikan, persekitaran, perundangan dan institusi keluarga itu sendiri.

“Perkembangan berkenaan bukan saja menyebabkan mereka (remaja) keliru, contohnya masalah perceraian yang menyebabkan mereka keliru sehinggakan ada mengambil jalan pintas serta melakukan perbuatan maksiat,” katanya.

Beliau berkata, remaja akan terumbang ambing jika pemikiran mereka tidak seimbang dan akhirnya melihat aktiviti songsang sebagai jalan keluar mengatasi masalah mereka.

“Remaja yang mempunyai hala tuju hidup serta beriman akan mengerti erti kebebasan. Mereka tahu kebebasan itu bukan selamanya harus dituruti tetapi perlu ditangani dengan bijaksana.

“Memang lumrah remaja memerlukan kebebasan menentukan keputusannya, namun dari aspek lain mereka masih memerlukan bimbingan ibu bapa,” katanya.

Bagi remaja yang beriman, mereka akan menghadapi suasana sosial dengan lebih tenang dan sabar, sehingga menjadi remaja cemerlang.

Pendidikan seimbang serta selari dengan kehendak Islam akan memberi fokus kepada belajar untuk berfikir danmelahirkan individu yang baik.

Sementara itu, Zamihan berkata, apabila berlakunya kepincangan dalam pendidikan ia menyebabkan remaja tidak matang malah mudah diserang pelbagai gejala sosial di persekitaran mereka.

Menurutnya, di zaman cendikiawan Islam dulu, mereka mengenali Allah dulu sebelum mencipta teori untuk dibangunkan bagi kesejahteraan ummah.

Selain kepincangan dalam pendidikan, katanya kesilapan turut berlaku dalam masyarakat itu sendiri. Orang baik duduk dalam kelompok jahat dan terpengaruh menjadi jahat sementara orang jahat dalam kelompok baik boleh menjadi sebaliknya.

“ Ibnu Khaldun berkata manusia anak kepada persekitaran, persekitaran amat penting untuk membentuk akhlak seseorang.

“Di zaman Bani Israel, kisah seorang hamba Allah yang membunuh 100 orang dan ingin bertaubat dan dia disuruh ke kawasan orang baik-baik kemudian mati dalam perjalanan. matinya sebagai orang baik,” katanya.

Ketika mengulas berhubung perundangan, Zamihan berkata undang-undang yang berasaskan akidah ialah hukum dan didik, bukannya undang-undang yang boleh dibeli dengan wang ringgit.

Sehubungan itu, katanya perlu ada beberapa langkah perlu untuk mengatasi masalah ini, antaranya perubahan dengan rela bukan paksaan.

Katanya, perubahan secara paksaan tidak tahan lama kerana ia tidak mempunyai perancangan untuk jangka masa panjang serta mengubah seseorang secara sepenuhnya.

Dalam rumusannya, beliau mengakui punca keruntuhan akhlak remaja Islam termasuk penderhakaan kepada Allah, tidak menunaikan solat, berpuasa dan menutup aurat ada kaitan dengan kurangnya didikan agama.

Kedua-dua panel bersetuju pendekatan pendidikan Islam jalan terbaik mendidik remaja di peringkat awal selain memanfaatkan institusi masjid.

Pendekatan masjid boleh dilakukan dengan mengimarahkan program berkaitan remaja termasuk menganjurkan ceramah agama dan motivasii.

Pengurusan masjid perlu mengajak atau memasukkan remaja sebagai ahli jawatankuasa kerana mereka tahu apa yang rakan sebaya mahukan untuk menjadi remaja muslim cemerlang.


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)