• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Usah Sempitkan Fungsi Masjid

Oleh Mohd Fadly Samsudin

MASJID bukan terhad untuk tujuan beribadat tetapi merangkumi aspek lebih luas termasuk sebagai pusat sehenti bagi mengadakan pelbagai aktiviti untuk umat Islam.

Di negara ini ada kira-kira 5,000 masjid, sayangnya banyak yang gagal menjalankan fungsi untuk mengimarahkan dan menjalankan aktiviti untuk umat Islam
Kebanyakan hanya memberi tumpuan kepada ibadat seperti solat, kuliah agama atau tadarus al-Quran, padahal ia sepatutnya diperluaskan kepada ekonomi dan sosial.

Ada masjid yang hanya membuka pintu ketika waktu solat sehingga membebankan umat Islam yang dalam perjalanan jauh untuk singgah bersolat di situ.

Sesetengah masjid pula memiliki wang atau dana yang banyak tetapi tidak tahu untuk menggunakannya bagi faedah umat Islam dan akhirnya ia menjadi ‘harta karun’.

Di masjid lain pula, ahli jawatankuasa terdiri daripada golongan tua sehingga aktiviti tidak menjurus untuk menarik golongan muda, akhirnya jemaah terdiri daripada orang pencen.

Ketika Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, perkara pertama yang dilakukan baginda ialah mendirikan masjid untuk dijadikan pusat kegiatan umat Islam.

Selain pusat ibadat, baginda menjadikan masjid pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, kegiatan masyarakat, tempat menuntut keadilan, pusat kebajikan dan gedung ilmu.

Fungsi masjid ketika itu cukup besar, dominan dan berpengaruh. Terbukti Rasulullah membawa kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai cara hidup melalui fungsi yang dimainkan institusi masjid.

Masjid tidak hanya terbatas meluaskan jaringan dakwah semata-mata tetapi menjadi pusat penyebaran ilmu serta kegiatan ekonomi.

Kejayaan sesebuah masjid itu amat bergantung kepada sistem pengurusan dinamik, mempunyai ahli jawatankuasa berkaliber yang dapat merancang dan mentadbir masjid dengan baik, imam berpengetahuan luas dan berwawasan tinggi serta mampu menyelesaikan masalah masyarakat.

Ahli jawatankuasa masjid perlu sentiasa berfikiran kreatif dalam urusan pentadbiran untuk menghidupkan roh Islam di masjid.

Dalam zaman siber, pengurusan masjid perlu lebih dinamik dan profesional kerana umat Islam semakin bijak. Apa salahnya membina bilik untuk umat Islam yang bermusafir menginap di masjid.

Lebih baik juga membina perpustakaan, bilik komputer, gelanggang badminton dan takraw. Ini harus difikirkan pengurusan masjid.

Justeru, kerjasama antara imam dan jawatankuasa pentadbir masjid perlu sentiasa rapat. Sebagai imam, Rasulullah amat mementingkan semangat bersatu padu di kalangan sahabatnya.

Apabila terdapat perbezaan pendapat di kalangan sahabat, Rasulullah akan menanganinya secara telus. Begitu juga sekiranya sahabat mempunyai pendapat baru, baginda amat menghargainya.

Maka, imam masjid perlu bersikap terbuka menangani perbezaan pendapat di kalangan orang ramai dan sentiasa bermesyuarat bagi mendapatkan penyelesaian.

Apa saja perancangan untuk meninggikan syiar Islam perlu dibincangkan bersama.
Mengimarahkan masjid dengan pelbagai bentuk ibadat amatlah dituntut.

Jelas, masjid mempunyai peranan besar untuk membangunkan keperibadian Muslim.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang membina sesebuah masjid, Allah akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga" (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pegawai Agama Masjid Putra Nilai, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanafi berkata, kreativiti mewujudkan pelbagai kemudahan di masjid memudahkan orang ramai berurusan serta mendapat perkhidmatan terbaik.

Usaha pihak masjid yang menyediakan kemudahan seperti bilik penginapan bagi musafir, klinik, arked jualan pakaian dan keperluan asas, kafe serta pusat sukan untuk pengunjung adalah idea yang bijak dan patut dipuji.

"Ini dapat menarik orang ramai berkunjung ke masjid dengan kemudahan prasarana serba lengkap dan canggih," katanya.

Beliau berkata, masjid moden perlu sentiasa memberikan penumpuan kepada aspek pengimarahan masjid serta pengurusan profesional bagi menjadikan institusi masjid berdaya saing.

Untuk menjadi masjid berprestasi tinggi, imam perlu dilengkapi ilmu yang seimbang serta memiliki pelbagai kemahiran. Ini penting kerana mereka adalah 'mufti' kepada rakyat.

“Biasanya orang ramai akan merujuk masalah kepada imam sebagai individu yang mahir dalam agama bagi mendapatkan pandangan serta jawapan.

"Namun, jika imam yang dilantik daripada kalangan orang yang bukan ahlinya, ia akan menimbulkan fitnah kepada ummah. Imam juga tidak dapat lari daripada kekurangan sebagai manusia biasa," katanya.

Menurutnya, amat wajar imam dilatih dengan kemahiran dalam pelbagai bidang termasuk kemahiran dan teknologi.

Jaringan komunikasi sangat penting pada masa kini. Pihak masjid perlu sentiasa memastikan teknologi terkini dimanfaatkan supaya interaksi dengan masyarakat dapat dipertingkatkan seperti laman web rasmi masjid, e-mel, facebook dan SMS berkelompok.

"Masjid perlu menunaikan tanggungjawab sebagai alat bagi menyebar luas aktiviti seperti maklumat pengajian dan direktori masjid dalam laman web atau blog yang unik serta relevan terhadap permintaan masyarakat yang semakin berilmu dan bermaklumat," katanya.

Beliau berkata, kandungan serta gaya penyampaian khutbah juga dapat menaikkan semangat jemaah yang hadir, bahkan melahirkan keinsafan dengan apa yang disampaikan khatib.

Teks kandungan khutbah yang disampaikan perlu membicarakan mengenai pokok ajaran agama Islam.

"Seseorang khatib perlu bijak mempersembahkan idea untuk menarik minat khalayak ramai terhadap ucapannya," katanya.

Katanya, pegawai masjid bertanggungjawab terhadap pentadbiran masjid melalui program yang diatur.

Institusi masjid perlu bebas daripada sebarang campur tangan pihak yang berkepentingan. Imam dan kakitangan yang dilantik perlu daripada kalangan mereka berkelayakan.

"Sebarang perkara yang bertentangan dengan semangat kesucian Islam seperti permusuhan dan menyalah guna masjid untuk kepentingan individu adalah dilarang," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)