• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Waris Berilmu Asas Jaminan Kemakmuran

SIRI 7: Kegagalan pelajari faraid cetus perselisihan faham, runtuh hubungan keluarga

APABILA menyentuh mengenai ilmu faraid atau ilmu pusaka kebanyakan kita akan mendiamkan diri dan enggan memberi komen kerana tidak arif atau tidak pasti apabila diajukan dengan perkara itu.
Berbeza pula maklum balas kepada mereka yang telah merasai kematian dalam kalangan ahli keluarga. Ada di antara mereka akan menyatakan semuanya mudah dan telah diselesaikan. Ada juga yang berkata sukar dan bermasalah, tetapi telah selamat diselesaikan.
Namun sebilangan besar akan mudah terasa, amat sensitif dan enggan membincangkan kepada orang luar kerana beranggapan sebagai waris yang berhak ini adalah hak mutlak peribadi keluarga yang membabitkan si mati, orang luar tidak berhak masuk campur. Mereka berhak untuk menentukan segala-galanya.

Kenyataan ini ada kebenarannya, tetapi sebenarnya tidak tepat. Andaian sebegini memberi gambaran mudah mengenai tahap pemahaman orang Islam sendiri terhadap ilmu faraid. Ilmu faraid seperti dijelaskan pada minggu lalu adalah sistem dan ketetapan Allah kepada orang Islam.

Walaupun pahit, tetapi kita perlu menerima kebenaran mengenai sikap orang Islam apabila berbicara mengenai ilmu faraid. Realiti ini adalah satu perkara yang amat jelas serta peringatan besar dan perlu diambil iktibar bahawa umat Islam tanpa mengira sama ada orang awam, cendekiawan, profesional, penggubal undang-undang, pentadbir mahupun pendakwah. Semua pihak perlu sekata dan sehaluan untuk memastikan ilmu faraid dapat terus hidup dan kekal di dalam kehidupan orang Islam bukan hanya untuk hari ini, tetapi terus kekal pada masa hadapan.

Umat Islam sudah diberikan tanggungjawab dan amanah bukan hanya untuk belajar ilmu faraid, tetapi juga perlu mengajar ilmu ini kepada orang Islam yang lain. Hadis jelas mengesahkan bahawa mempelajari ilmu faraid penting dan perlu ada dalam diri setiap orang Islam bukan hanya untuk umat yang hidup pada hari ini tetapi juga kepada umat yang hidup terkemudian.
Oleh itu bagaimana dan apa yang harus kita lakukan? Siapakah yang bersedia untuk memikul tanggungjawab ini? Tanggungjawab untuk memastikan matlamat utama agar ilmu faraid dapat diajar, disebar dan dikekalkan kepada orang Islam sehingga hari kiamat seperti yang dikehendaki di dalam Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada manusia, kerana ia adalah separuh daripada ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah ilmu yang pertama akan dicabut daripada umatku." (Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah)

Justeru, umat Islam pada hari ini perlu mengambil langkah segera dan bijak bagi memastikan ilmu faraid perlu terus kekal dan terus penting untuk dijadikan asas kepada kemakmuran keturunan sebuah institusi keluarga Islam pada hari ini dan juga pada masa hadapan. Kita tidak boleh lagi berpeluk tubuh, bersikap tidak acuh atau pun tidak ambil peduli perkara yang membabitkan ilmu faraid.

Sebagai orang Islam kita tidak boleh hanya menyalahkan orang lain sekiranya kita menghadapi masalah berkaitan harta pusaka. Sikap begini mencerminkan peribadi orang Islam yang dengan jelas memandang remeh ilmu faraid dan yang paling buruk akan membawa kepada pertelingkahan dan pergaduhan dalam kalangan ahli waris sendiri. Perkara ini sudah diperingatkan oleh Rasulullah SAW kepada umat Islam mengenai bala yang akan menimpa akibat kegagalan untuk mempelajari ilmu faraid.

Al-Hakim meriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Pelajarilah al-Quran dan ajarkanlah ia kepada manusia; dan pelajarilah faraid serta ajarkanlah ia kepada manusia. Sesungguhnya aku adalah manusia yang akan digenggam (diwafatkan) dan sesungguhnya ilmu itu akan digenggam (dicabut), dan nanti akan timbul fitnah, sehingga dua orang berselisih mengenai pembahagian harta pusaka, dan tidak ada orang yang dapat menyelesaikan antara kedua-duanya.”

Umat Islam pada hari ini perlu sedar kepentingan mempelajari dan memiliki ilmu faraid adalah untuk kebaikan dan kemakmuran keluarga masing-masing. Sesungguhnya ilmu akan membuka pendekatan baru untuk orang Islam mengurus harta ketika hidup dengan adanya perancangan yang lebih efektif ketika hidup di dunia dan juga untuk kehidupan abadi di akhirat kelak. Sementara itu bagi ahli Waris pula, ilmu akan mempamerkan kebijaksanaan dan keupayaan untuk mentadbir dan mengurus harta pusaka dengan cemerlang demi kemakmuran yang masih hidup mahupun si mati. Waris berilmu juga berupaya menimbangcara dan menilai pendekatan terbaik untuk melaksanakan harta pusaka simati. Waris dapat berlaku adil dan amanah dalam menjalankan dan menunaikan kewajipan ini tanpa menghadapi masalah dalaman yang dapat menggugat kelancaran pentadbiran harta pusaka. Ahli waris juga boleh memilih sama ada untuk melaksana dan menyelesaikan sendiri atau pun menggunakan pihak ketiga; agensi milik kerajaan seperti AmanahRaya atau sebaliknya. Ilmu juga boleh menguatkan hubungan kekeluargaan walaupun baru saja ditinggalkan oleh orang tersayang.

Waris yang berilmu akan memberi peluang kepada jaminan kehidupan yang lebih baik. Ini berlaku apabila ahli waris berjaya mencapai ketetapan bersama untuk membuat apa juga keputusan membabitkan harta pusaka khususnya perkara yang membabitkan hak waris dan si mati. Di samping itu, waris akan dapat bertindak dengan lebih cekap bagi memastikan pulangan maksimum untuk balasan di dunia dan juga di akhirat kelak. Oleh itu, sudah tiba masa untuk ahli waris memilih jalan terbaik agar terhindar daripada kejadian tidak sihat seperti fitnah, berselisih faham dan dendam yang boleh meruntuhkan hubungan keluarga masing-masing.

Untuk ini, semua diseru untuk belajar jika tidak tahu dan bagi mereka yang mengetahui Ilmu faraid, sama-sama kita berjihad menegak dan memakmurkan ilmu faraid. Ingatlah bahawa tiada yang lebih penting melainkan orang yang berilmu. Sedarlah bahawa ilmu faraid adalah asas kepada kemakmuran dan kesinambungan satu keturunan dan pelaburan terbaik di dunia dan di akhirat.

Rencana ini disediakan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan. Untuk keterangan lanjut boleh menghantar e-mel kepada siti.khadijah@arb.com.my

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)