• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Waspada Riwayat Israiliyyat

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Kalangan umat Islam sendiri termakan malah langsung tidak menolak kisah-kisah yang dibawakan oleh kaum Yahudi, hanya kerana ada kalangan kaum itu yang telah memeluk Islam. Sedangkan mereka memeluk Islam itu pada sekadar zahirnya sahaja.

Mereka inilah digelar sebagai antara golongan zindik (selain Nasrani, Parsi dan Rom) yang berusaha dengan pelbagai jalan untuk merosakkan agama dan menimbulkan keraguan di kalangan manusia terhadap Islam.

Pernahkah anda mendengar nama Abdullah bin Saba'? Seorang Yahudi yang hina merayau ke seluruh kawasan dan menghasut orang ramai.

Beliau telah menyembunyikan racun yang disebarkannya kononnya cintakan Saidina Ali Abi Talib Karamallahu Wajhah dan Ahli Bait (keluarga Rasulullah).

Abdullah menyebarkan Saidina Ali adalah orang yang memegang wasiat dari Rasulullah, yang kononnya paling layak menjadi Khalifah mengatasi Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al Khattab.

Abdullah telah menciptakan hadis mauduk (palsu) mengenai Saidina Ali yang berbunyi: "Setiap Nabi adalah aku dan waris aku adalah Ali".

Bukan setakat itu sahaja yang dilakukan oleh Yahudi ini malah dia turut mendakwa bahawa menantu Rasulullah itu adalah Tuhan.

Selaku pemerintah ketika itu Saidina Uthman ibn Affan walaupun terkenal sebagai seorang yang lembut hati, beliau telah mengusir Abdullah bin Saba' yang telah menyebabkan dia lari manakala pada zaman pemerintahan Saidina Ali sendiri, beliau telah menghalalkan darah Yahudi ini untuk dibunuh.

Namun yang menyedihkan ada kalangan umat Islam yang tidak bertapis-tapis lagi terus percaya kepada cerita-cerita Yahudi itu sedangkan ia tidak sahaja suatu pembohongan yang sangat besar dan sedikit sebanyak telah menyebabkan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam itu sendiri sedangkan api perpecahan ini sentiasa marak kerana Yahudi tidak pernah diam yang kesemuanya dilakukan kononnya atas nama 'Islam'.

Ketika begitu hebat melanda di zaman pemerintahan Saidina Uthman dan Saidina Ali iaitu sekitar tahun 40-an hijrah, tersebarnya fitnah-fitnah sehingga menjadi satu bencana besar kepada umat Islam. Pertikaian itu sehingga membawa kepada pembunuhan sesama umat yang sehingga zaman itu dikenali sebagai Sighar Al Sahabah dan Kubbar al Tabiiin.

Itu hanya baru satu kisah dari begitu banyak sekali kisah-kisah Israiliyyat dan hadis-hadis mauduk dalam kehidupan umat Islam.

Walaupun sesetengah menganggap kisah-kisah Israilliyyat mahupun hadis mauduk itu tidak lebih sebagai bidaah hasanah namun masih lagi, kedua-dua unsur ini sangat bahaya kepada umat Islam, jika kita tidak berhati-hati.

Ini kerana bayangkan sahaja menurut Hamad bin Zaid, golongan Zindiq sahaja telah menciptakan 14,000 ribu hadis (mauduk) yang menurut Ibnu Qutaibah hadis dari golongan ini sengaja diada-adakan dan mengenai perkara mustahil seperti hadis peluh kuda, hadis malaikat datang untuk ziarah, bekas emas atas unta, hadis Nur al-Ziraian dan sebagainya lagi.

umat Islam

Persoalan mengenai kisah-kisah Israiliyyat dan hadis-hadis mauduk dikupas dengan begitu baik oleh penulis buku ini. Kisah-kisah Israiliyyat itu sendiri seperti dihurai panjang lebar dari aspek makna dan sejarahnya telah sekian lama begitu membarah dalam darah daging umat Islam.

Ini kerana sesetengah meluaskan ruang lingkup Israiliyyat itu sebagai merangkumi semua yang terkandung dalam buku-buku pengetahuan orang Yahudi dan Nasrani yang berkisar sekitar huraian mereka terhadap kitab-kitab Injil, sirah, perjalanan nabi-nabi, rasul dan sebagainya.

"Hanya ini dinamakan sebagai Israiliyyat kerana kebanyakannya adalah datang dari ilmu pengetahuan Bani Israil atau daripada kitab-kitab mereka atau dari cerita dongengan dan batil yang mereka ada-adakan," kata Dr. Muhammad.

Sementara hadis Mauduk atau al Maudhuat mengikut istilah ahli-ahli hadis merupakan hadis-hadis yang sengaja diada-adakan atau direka-reka secara dusta ke atas Rasulullah atau ke atas para sahabat dan para tabiin selepas baginda.

Seseorang itu kata penulis, akan mencipta satu-satu susunan kalam yang kemudian menisbahkannya kepada Nabi Muhammad atau kepada para sahabat dan para tabiin ini tadi.

Sebagai contoh, 'hadis' berikut: "Cintailah orang yang engkau cintai seberapa ringan yang boleh kerana boleh jadi pada suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang engkau benci dan bencilah orang yang engkau benci seberapa ringan yang boleh kerana boleh jadi pada suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang engkau cintai".

Yang sebenarnya kata-kata itu adalah daripada ucapan Saidina Ali bin Abi Talib.

"Perut ialah rumah penyakit dan perut yang kosong adalah kepala segala ubat". ('Hadis' ini pula sebenarnya adalah kata-kata yang diungkapkan dari seorang doktor Arab yang bernama al Haris bin Kalidah).

Contoh lain lagi yang merupakan kisah-kisah Israiliyyat yang dijadikan hadis (mauduk): "Aku tidak dapat disaingi oleh langit dan bumi-Ku akan tetapi Aku disaingi oleh keluasan hari orang Mukmin".

Imam Ibnu Taimiyyah berkata: Ia adalah dari Israiliyyat kerana tidak mempunyai punca yang diketahui berasal daripada Nabi Muhammad SAW.

"Sesungguhnya umur dunia ialah tujuh ribu tahun". 'Hadis' ini adalah termasuk dalam Israiliyyat.

Buku yang diterjemah dengan baik ini adalah hasil penulisan gigih Dr. Muhammad. Semasa menulis buku ini, beliau ialah Ketua Jabatan Kuliah Usuluddin di Universiti Al Azhar Cawangan Asyut.

Bagi Dr Muhammad, umat Islam amat memerlukan buku yang seperti ini untuk mereka jadikan rujukan utama bagi membolehkan mereka menghilangkan cerita-cerita dongenagan yang dikaitkan dengan tafsiran kitab suci al Quran.

"Golongan Orientalis adalah 'tokoh-tokohnya' dalam kisah-kisah Israiliyyat yang mereka dapati, rekaan-rekaan ini boleh memenuhi keinginan mereka, memuaskan ketaksuban dan marah mereka yang keji serta mengubati jiwa mereka yang sakit dan hasad terhadap Islam, nabinya dan al-Quran.

"Kedengkian dan dendam ini dianggap sebagai lanjutan kepada siri Peperangan Salib yang telah mereka lancarkan terhadap Islam yang masih berlaku sehingga zaman kita ini dengan pelbagai bentuk," kata beliau.

Buku yang ditulis dalam tujuh bab yang utama yang dipecahkan kepada tajuk-tajuk kecil yang sangat relevan. Mungkin Bab 4 adalah yang paling menarik untuk dibaca apabila penulis tidak sahaja memberikan lagi contoh-contoh kisah Israiliyyat seperti Kisah Harut dan Marut, Pembinaan Kaabah Baitullah dan Hajar Aswad dan banyak lagi yang kesemua itu kemudiannya dijelaskan kebenaran sebenar yang seharusnya kita 'imani'.

Penulis benar-benar bertanggungjawab untuk membersihkan nama Rasulullah, para sahabat dan umat Islam amnya dari menjadi bahan fitnah oleh pihak yang berkepentingan sempit dan niat buruk terhadap Islam itu.

Begitu pun seperti yang beliau harapkan bahawa umat Islam hari ini adalah mereka yang mesti mengetahui segala serba aspek kehidupan dan ilmu-ilmu dunia dan akhirat supaya tidak mudah terpedaya terhadap pengaruh-pengaruh Israiliyyat dan hadis maudhuk ini.

"Mereka hendaklah mempunyai pengetahuan tentang kemajuan ilmu dalam bidang perubatan, astronomi, alam semesta, ilmu sosial, ilmu jiwa, ilmu mengenai bangsa-bangsa dan sebagainya supaya ia dapat menguatkan senjata bagi menghapus dan melenyapkan kebatilan Israiliyyat itu," kata Dr. Muhammad.

Benar, jika tidak selama bilapun, jadilah mereka umat yang tertipu dek kejahilan mereka sendiri!

"...demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji."

(surah Al Fussilat, ayat 41-42)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)