• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Zina, Bunuh Bayi Amalan Jahiliah Patut Dibanteras

Oleh Amru Alhaz Adnan

2012/02/14

ALLAH SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan dan menjadikan manusia semulia-mulia makhluk ciptaan-Nya. Keunikan ciptaan manusia banyak disebut dalam al-Quran bertujuan mengajak manusia berfikir mengenai kehebatan dan keagungan Allah. Namun ciptaan Allah yang hebat ini disia-siakan, sehingga kelahiran manusia yang cukup sempurna segala sifat ini sanggup dibiar, dibuang dan dibunuh tanpa pertimbangan yang waras disebabkan malu kepada manusia di atas keterlanjuran perbuatan terkutuknya.

Peristiwa hitam yang berlaku ribuan tahun dulu kini berulang cuma dalam bentuk dan skrip yang berbeza. Jika pada zaman kegelapan, iaitu zaman Jahiliah masyarakat ketika itu hilang sifat kemanusiaan sehingga sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana malu dan kononnya bagi mempertahankan maruah diri dan keluarga.

Peristiwa ini difikirkan logik berlaku kerana masyarakat pada ketika itu belum menerima cahaya Islam, sedangkan pada zaman moden ini, ketika Islam sudah tersebar meluas dan dihayati, peristiwa ini masih berlaku bahkan lebih dahsyat lagi.

Islam meletakkan tanggungjawab mencegah kemungkaran pada bahu setiap individu. Justeru sekarang ialah masanya untuk kita duduk bersama, bermuhasabah mengambil tindakan untuk menangani keruntuhan akhlak dan moral yang semakin meruncing. Umat Islam perlu memikul peranan bersama kerana ia isu umat sejagat. Tidaklah dikira bijak seseorang itu apabila menuding jari dan menyalahkan pihak-pihak tertentu. Mungkin ada yang menuding jari pada pemerintah yang dikatakan gagal melaksanakan tanggungjawab, tidak kurang juga yang menyalahkan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri yang turut sama dikatakan gagal membanteras aktiviti maksiat dan amalan tidak bermoral.

Sebenarnya gejala pembuangan bayi ini berpunca daripada perlakuan terkutuk zina. Zina ialah hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan yang dilakukan tanpa akad pernikahan yang sah. Ini termasuk kegiatan pelacuran atau apa juga perbuatan lain yang membawa keseronokan nafsu dan syahwat. Zina termasuk antara dosa besar. Oleh sebab itulah Islam bukan setakat melarang bahkan menyuruh umatnya menjauhi jalan-jalan yang boleh membawa kepada zina.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk".
Selaku umat Islam kita wajib menjauhi perbuatan zina kerana ia merapuhkan institusi keluarga dan masyarakat di samping merosakkan salasilah keturunan dan zuriat. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bermaksud: "Tiada dosa yang lebih besar selepas syirik kepada Allah melainkan orang yang meletakkan air maninya di dalam rahim wanita yang tidak halal untuknya."

Ibn Hajar al-Haithami menyebut dalam kitab al-Zawajir ‘an iktiraf al-Kabair: “Zina mempunyai beberapa peringkat, zina dengan perempuan yang tidak bersuami dosa besar. Lebih besar daripada itu ialah zina dengan perempuan yang bersuami. Lebih besar daripada itu ialah zina dengan perempuan mempunyai hubungan mahram. Zina orang yang telah berkahwin lebih besar dosanya daripada zina orang yang belum berkahwin dan zina orang tua lebih besar dosanya daripada zina orang muda.”

Perkembangan teknologi dan komunikasi yang gagal dikawal sepenuhnya juga mengundang berlakunya salah laku zina. Sebagai contoh pelbagai jenis gambar lucah termasuk video terlalu mudah diakses hanya di hujung jari. Ditambah pula dengan tayangan dan rancangan televisyen yang banyak menyajikan kisah percintaan yang boleh menambahkan rasa ghairah penonton. Kebanjiran DVD lucah pula sukar disekat dan berleluasa. Kecanggihan perisian telefon bimbit juga telah disalah guna. Gejala bertukar-tukar kiriman gambar dan video lucah di kalangan remaja dan pelajar sekolah tidak dapat disembunyikan lagi.

Kesemua faktor ini mendorong kepada berlakunya perzinaan. Gejala buang bayi ini seperti tidak akan ada penghujungnya tanpa timbulnya kesedaran di kalangan masyarakat . Justeru beberapa langkah patut kita laksanakan:

Peranan institusi keluarga dalam menerapkan budaya dan cara hidup Islam bermula di rumah. Ibu bapa hendaklah sentiasa memberi didikan agama yang secukupnya di samping mengawasi pergerakan anak-anak mereka dari semasa ke semasa.

Menghidupkan budaya ilmu di kalangan umat Islam. Peranan institusi pendidikan hendaklah ditingkatkan. Dicadangkan agar jumlah jam bagi mata pelajaran agama Islam ditambah dan menjadi salah satu syarat utama untuk lulus dalam peperiksaan.

Aktiviti dan program mendidik jiwa dan berunsur kerohanian hendaklah diperbanyakkan sama ada dianjurkan di peringkat Parlimen, DUN, kampung dan masjid.

Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang berlandaskan Islam untuk membanteras kegiatan tidak bermoral termasuk pelacuran. Di samping hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas segala bentuk jenayah syariah bagi menimbulkan kegerunan si pelaku.

Menggalakkan pasangan belia yang telah cukup syarat untuk segera berkahwin tanpa bertangguh kerana hanya sistem perkahwinan dapat membendung perlakuan zina. Sekiranya masalah kewangan yang menjadi penghalang, bantuan dan sumbangan zakat mungkin boleh membantu.

Kita Umat Islam di Malaysia cukup bersyukur kerana dapat hidup di negara yang aman, harmoni, cukup dari segi kemewahan dan keselesaan menjalankan aktiviti seharian. Kita hendaklah sentiasa berwaspada dan sentiasa berpegang dengan ajaran Islam dalam segenap aspek kehidupan kita. Apa yang dikhuatiri, apabila banyak berlaku kemungkaran dan ramai umat Islam melampaui batas dalam agama, maka azab Allah pasti akan turun. Marilah sama-sama kita merenung sabda baginda Nabi Muhammad SAW:

"Daripada Maimunah R.A berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir saja Allah 'Azza wajalla akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya." Riwayat Ahmad)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)