Pelik Tapi Benar

Kisah 1
Hamba sama dengan tuan

Sifat Abu Zar Al Ghifari yang sangat rendah hati, amatlah dikenal oleh para Sahabat.

Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda:
"Siapa di antara umatku yang hendak melihat kerendahan hati Isa bin Maryam maka lihatlah Abu Zar Al Ghifari ini."

Pernah suatu hati seorang Sahabat melihat Abu Zar berjalan bersama pelayan atau hambanya. Dari jauh memang sukar hendak dikenal mana satu Abu Zar dan mana satu pelayannya itu, kerana pakaian mereka sama sahaja.
Setelah sahabat tersebut mendekati Abu Zar, ia pun bertanya, " Hai Abu Zar, kenapa pelayan tuan berpakaian sama seperti tuan ini?

Maka jawab Abu Zar, "Pernah aku mendengari, pelayan kamu adalah saudara -saudara kamu. Allah SWT telah meletakkan mereka di bawah tanggungjawab kamu. Kamu hendaklah memberi makan dengan makanan yang kamu makan, dan memberi mereka pakaian dengan apa yang kamu pakai. Kamu jangan memberi mereka kerja yang berat. Jika kamu berikan kerja yang berat, kamu hendaklah sama-sama menolongnya."

Kisah 2
Buta celik

Macam mana pula orang buta boleh nampak? Ha, kisahnya ada seorang sufi yang akan melangsungkan perkahwinannya dengan seorang wanita cantik. Tiba-tiba dengan takdir Allah, di saat hampir pada waktu pernikahan, pengantin wanita itu ditimpa penyakit cacar.

Pihak keluarganya sangatlah sedihnya dan khuatir anak gadisnya akan dianggap hodoh oleh bakal menantu mereka. Lagipun orang sufi tu handsome juga. Takut-takut tak padan dengan anak gadis mereka.

Dalam mereka bergundah-gulana itu tiba-tiba sampailah khabar kepada keluarga wanita itu bahawa si sufi tadi telah mengidap sakit mata, hingga mengakibatkan matanya buta.

Dipendekkan cerita, perkahwinan yang dirancang pun terus dilangsungkan, dalam keadaan kedua pengantin yang kini telah `sekufu` itu. Kedua belah pihak tidak bersedih hati mahupun berkecil hati.
Hiduplah kedua pasangan tersebut dengan rukun dan damai selama 20 tahun, sehingga Allah takdirkan wanita itu jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah kematian isterinya maka si sufi itu pun membuka rahsia yang disimpannya selama 20 tahun itu. Rupa-rupanya selama ini matanya tidak buta, dia hanya berpura-pura sahaja.

Lalu orang pun bertanya, mengapa ia berpura-pura buta sekian lamanya.

Lantas dijawabnya "Aku saja berpura demikian agar keluarga isteriku tidak bersedih hati. "

Tercenganglah mereka yang mendengar pengakuannya itu.

Mereka pun berkata, "Kamu telah mengungguli rakan-rakanmu dengan akhlakmu ini!"


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila hantarkan pesanan anda di Hubungi Kami, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.