Tiga Qadhi

Pada zaman Bani Israil terdapat tiga orang qadhi. Suatu hari seorang malaikat telah diutus oleh Tuhan untuk menguji ketiga-tiga orang qadhi itu.Malaikat tersebut pun menyerupai seorang lelaki penunggang kuda. Dia pergi menemui seorang lelaki yang sedang memberi minum kepada lembunya. Pada masa itu lembu tersebut sedang menyusukan anaknya yang kecil. Tiba-tiba penunggang kuda itu mengambil anak lembu itu untuk dibawa pergi.

Tuan punya lembu itu sedar, lalu dia segera memanggil.
Wahai tuan hamba, apasal tuan hamba ambil anak lembu saya?

Apa?! Tuan hamba kata anak lembu ini kepunyaan tuan hamba! Ini anak lembu kuda saya, kata malaikat yang menyerupai penunggang kuda.

Masya-Allah! Kalau tuan nak bergurau dengan saya pun janganlah buat cam ni! kata tuan punya lembu itu.

Eh, saya tak bergurau. Ini betul-betul serius ni, kata penunggang kuda.

Terkebil-kebil tuan punya lembu itu menatap wajah penunggang kuda yang sedikit pun tidak kelihatan tanda-tanda mahu beralah.
Setelah berlaku perbalahan yang tidak ada penyelesaiannya, pemilik lembu itu pun memberi cadangan.

Tak boleh jadi ni. Saya mahu hal ini dibawa ke muka pengadilan, katanya.

Baik, hamba setuju, kata penunggang kuda.

Mereka pun segera berjumpa dengan qadhi yang pertama. Pemilik lembu menceritakan masalah yang berlaku.

Katanya, Tuan qadhi, penunggang kuda ini telah lalu dekat hamba. Ketika itu hamba sedang memberi minum lembu hamba. Tiba-tiba penunggang kuda ini memanggil anak lembu hamba dan ia mengikut kudanya. Hamba telah meminta dia mengembalikan anak lembu itu tetapi dia enggan dan mendakwa anak lembu itu adalah anak kudanya.

Sebelum sempat tuan qadhi membuka mulut, malaikat yang menyerupai manusia itu datang dan membawa tiga mutiara yang tidak dapat dilihat oleh orang lain melainkan qadhi tersebut.

Malaikat itu memberi sebiji mutiara kepada si qadhi secara rahsia sambil berbisik, Putuskan anak lembu itu kepunyaan kudaku.

Bagaimana caranya? tanya si qadhi.

Itu senang sahaja. Jalankan kudaku dengan lembunya pada arah yang bertentangan. Kemudian suruhlah anak lembu itu mengikut di belakang. Ke mana anak lembu itu ikut, itulah ibunya, bisik penunggang kuda.

Maka qadhi mengarahkan kuda dan lembu berjalan ke arah bertentangan. Selepas itu anak lembu itu pula disuruh mengikut kedua-dua binatang itu. Ternyata ia mengikut di belakang kuda.

Kalau begitu, ia menjadi hak kuda, kata qadhi.

Tidak, hamba tidak terima. Mari pergi kepada qadhi yang lain, kata pemilik lembu.

Boleh, aku setuju, kata penunggang kuda.

Pergilah mereka berjumpa qadhi yang kedua. Berlakulah sepertimana yang terjadi kepada qadhi yang pertama tadi. Si penunggang kuda merasuah qadhi itu dengan sebiji mutiara dan menyuruh mengikut arahannya hinggalah anak lembu itu menjadi miliknya.

Dengan nada yang marah, pemilik lembu itu berkata, Hamba tidak terima keputusannya dan mari berjumpa qadhi yang lain, kata pemilik lembu.

Mereka pun berjumpalah dengan qadhi yang ketiga. Apabila berjumpa dengan qadhi tersebut, pemilik lembu itu menceritakan kisahnya dari mula hingga akhir. Si penunggang kuda itu mengeluarkan mutiara dan cuba merasuah qadhi itu, tetapi aneh, qadhi tersebut tidak mahu menerimanya.

Kemudian qadhi itu berkata, Hari ini aku tidak dapat mengadili kalian berdua.

Kenapa demikian? tanya kedua-dua mereka.

Sebab aku sekarang sedang haid, jawab qadhi.

Maka tergelaklah kedua-dua mereka.

Pemilik lembu itu berkata, Subhanallah, mana ada orang lelaki kedatangan haid, kata pemilik lembu.

Ya, saya kedatangan haid, kata qadhi itu selamba.

Tak mungkin, kata pemilik lembu.

Ya, kata qadhi.

Isy... isy... isy... tuan ini biarlah betul. Tak masuk akal langsung dakwaan tuan ini, kata penunggang kuda pula.

Subhanallah, kalau begitu mana mungkin kuda beranak lembu! balas qadhi.

Maka qadhi itu memutuskan bahawa anak lembu itu tetap milik si pemilik lembu, kerana tidak ada kuda beranak lembu. Akhirnya mereka menerima keputusan yang adil.

Malaikat itu terus berkata kepada qadhi itu, Sesungguhnya aku hanya menguji kalian. Allah telah redha padamu dan membenci pada kedua-dua qadhi yang lain.


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila hantarkan pesanan anda di Hubungi Kami, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.