Oleh DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN
ISLAM adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Antara objektif perundangan Islam bagi memelihara kepentingan hidup manusia ialah mengiktiraf dan memelihara keturunan dan nasab. Keturunan yang diakui oleh syariat Islam ialah keturunan yang berasaskan pertalian suami isteri daripada ikatan perkahwinan yang sah.
Berdasarkan objektif perundangan Islam, nasab yang diakui hanyalah nasab daripada ikatan perkahwinan. Oleh itu, Islam menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan perzinaan.
Zina merupakan dosa besar dan jenayah berat. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’: 32)
Selanjutnya Allah SWT menetapkan hukuman yang berat kepada penzina, sepertimana firman-Nya yang bermaksud: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya 100 kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman. (al-Nur: 2)
Pengharaman zina
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Ambil daripada saya hukuman ini, Allah SWT telah menetapkan, hukuman orang belum bernikah (ghayr muhsan) berzina maka wajib dirotan 100 kali sebatan dan dibuang negeri setahun. Manakala hukuman orang yang sudah bernikah (muhsan) berzina, disebat 100 kali sebatan dan kemudian direjam sampai mati. (riwayat Imam Muslim) (Muslim, Abu al-Husayn Muslim bin al-Hajjaj al-Qushairi al-Naisaburi, Sahih Muslim, sunt. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi, 1955, jil. 3, hlm. 1323.).
Imam al-Nawawi (w 676H); ulama bermazhab Syafie menjelaskan, sesiapa yang mengingkari pengharaman zina dan arak dan perkara-perkara haram lain yang telah disepakati (ijmak), walaupun minum arak dan berzina sudah menjadi amalan biasa dalam kalangan anggota masyarakat, maka orang yang mengingkari pengharaman tersebut adalah murtad. (al-Nawawi, Yahya bin Syarf, al-Majmu’ syarh al-muhazzab, sunt. Muhammad Najib al-Muti’i, Jeddah: Maktabah al-Irsyad, t.th., jil. 3, hlm. 16)
Lelaki yang bersetubuh secara haram dengan seseorang wanita, lalu daripada persetubuhan haram tersebut melahirkan seorang anak perempuan, maka lelaki itu tiada kaitan dengan anak yang dilahirkan oleh perempuan tersebut. Lelaki itu bukan bapa yang sah dan tidak dianggap sebagai wali menurut hukum syarak. (Husayn, Ahkam walad al-zina, hlm. 109).
Saidatina Aisyah melaporkan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Nasab anak itu adalah untuk bapa yang sah, manakala penzina dihalang daripada dinasabkan anak kepadanya. (riwayat al-Bukhari)
Amr bin Syu’aib melaporkan daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana lelaki berzina dengan seorang wanita; merdeka atau hamba, maka anak yang lahir daripada persetubuhan itu adalah anak zina, dia tidak boleh mewarisi lelaki tersebut dan tidak boleh diwarisi." (riwayat al-Tirmizi). (al-Tirmizi, Muhammad bin ‘Isa bin Saurah, Sunan al-Tirmizi, sunt. Ibrahim ‘Atwah ‘Iwadh, Misr: Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1962, jil. 4, hlm. 428).
Hadis ini dengan jelas menyatakan bahawa jika seseorang lelaki yang berzina dengan seorang wanita; merdeka atau hamba, lalu lelaki itu menuntut agar anak itu dinasabkan kepadanya, maka tuntutan itu ditolak, lelaki dan anak itu juga tidak boleh saling mewarisi dan anak itu dinasabkan kepada ibunya. (rujuk Ibnu Qayyim, Zad al-ma’ad, jil. 5, hlm. 428).
Hadis tersebut menunjukkan bahawa anak itu tidak boleh di’bin’ atau di‘binti’kan kepada bapa biologi itu. Anak yang lahir hasil daripada percantuman benih perempuan dan lelaki yang bukan pasangan yang sah menurut syarak ini dipanggil sebagai anak tak sah nasab atau tak sah taraf, juga disebut anak zina.
Nikmat nasab
Nasab merupakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya hasil daripada hubungan perkahwinan yang disyariatkan, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia daripada air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka (nasab) dan pertalian keluarga (persemendaan) dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya). (al-Furqan: 54)
Nikmat nasab adalah berdasarkan ketaatan kepada agama, bukan atas dasar maksiat. Oleh itu, nasab tidak layak diberikan kerana zina.(al-Syafi’i, Muhammad bin Idris, Ahkam al-Qur’an, sunt. ‘Abd al-Ghani ‘Abd al-Khaliq, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyah, 1980, jil. 2, hlm. 189).
Mengiktiraf nasab anak zina kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak itu hanya akan menyebabkan perbuatan zina dianggap remeh dan akan semakin berleluasa jenayah zina tersebut dalam kalangan masyarakat.
Imam al-Sarakhsi (wafat 483H); ulama bermazhab Hanafi menjelaskan, “Menghalang nasab anak zina daripada lelaki tersebut adalah salah satu cara untuk menghalang masyarakat daripada berzina. Jika seseorang lelaki mengetahui bahawa dia tidak layak dinasabkan kepada anak zinanya, maka dia akan menjauhi zina."(al-Sarakhsi, al-Mabsut, jil. 4, hlm. 207; jil. 17, hlm. 154). Beliau menjelaskan lagi, “Berkemungkinan wanita yang berzina itu telah berzina dengan lebih daripada seorang lelaki. Jika kita membenarkan anak zina itu dinasabkan kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak itu, berkemungkinan lelaki itu bukan bapa biologi sebenar kepada anak itu, maka kita telah menasabkan anak kepada bukan bapanya, ini diharamkan secara jelas dalam al-Quran dan hadis." (al-Sarakhsi, al-Mabsut, jil. 4, hlm. 207)
Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila hantarkan pesanan anda di Hubungi Kami, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.