"SEPERTI kuda dengan penunggangnya, begitulah diibaratkan antara iman dengan Islam," kata pengetua Madrasah al-Yamani, Syed Muhammad Fadzli Syed Ahmad.
Beliau yang juga pengasas di pusat pengajian Islam dan al-Quran itu berkata, biarpun mempunyai mental dan fizikal yang kuat, namun tidak menjamin seseorang individu itu dapat melakukan segala perintah Allah SWT walaupun ringan.
Bagaimanapun tambahnya, berbeza dengan individu yang hanya dalam keadaan tubuh badan dan fikiran yang lemah, tetapi tetap melakukan segala ibadah tanpa sebarang alasan serta pertikaian.
"Itulah perbezaan antara orang yang bergelar Muslim dan mukmin," jelasnya.
Perkataan iman adalah sinonim dengan umat Islam dan hampir semua umat Nabi Muhammad SAW yang mengucap dua kalimah syahadah itu mengaku bahawa dia beriman.
Namun, apa yang menyedihkan, realiti yang berlaku pelbagai jenis maksiat masih berleluasa dan jenayah tidak pernah sepi daripada terus dilaporkan. Ini membuktikan hakikatnya ia bertentangan dengan definisi sebenar beriman.
Ulama akidah Ahli al-Sunnah Wal-Jamaah berpendapat, iman merupakan istilah yang mengandungi tiga unsur iaitu ikrar (ucapan) dengan lisan, tasdiq (membenarkan) dengan hati dan amal (melaksanakan) dengan anggota.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Rasul telah beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasul-Nya. (mereka mengatakan): Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang pun (dengan yang lain) daripada Rasul-rasul-Nya, dan mereka mengatakan: Kami dengar dan kami taat. (mereka berdoa): Ampunilah kami Ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali. (al-Baqarah: 285).
Syed Muhammad berkata, walaupun bergelar Islam, namun bukan semua umat Islam beriman, tetapi sebaliknya orang yang beriman pasti memiliki Islam.
"Iman dan Islam adalah perkara yang penting dalam diri seseorang. Iman bermakna kepercayaan terhadap sesuatu yang tidak dapat kita lihat dan perlu menjadi pegangan sepenuhnya di dalam hati.
"Manakala Islam pula membawa maksud berserah, iaitu menyerah diri kepada Allah, dengan melakukan perkara yang diperintahkan seperti yang terkandung di dalam Rukun Islam. Ini bermakna iman dan Islam adalah perkara yang berkaitan.
"Bagaimanapun, orang yang beriman pasti ada Islam, namun tak semua orang Islam beriman. Bukti kesahihan iman adalah melalui kewujudan agama Islam yang boleh dilihat dengan sifat luaran seperti patuh perintah Allah SWT," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Jelasnya, sebagaimana kuda yang hebat walaupun ditunggang oleh penunggang yang lemah tetap boleh bergerak, namun berbeza dengan kuda yang lemah jika ditunggang oleh orang hebat tetap tidak boleh digerakkan.
"Iman yang kuat itu diumpamakan seperti kuda yang kuat, manakala penunggang pula seperti amalan Islam. Walaupun lemah tetap boleh melakukan ibadah dan perintah Allah SWT kerana desakan iman yang kuat.
"Iman juga adalah penggerak kepada tindakan luaran, sebagai contoh, orang yang sihat dan bertubuh kuat tetapi terlalu berat untuk melakukan solat. Ini sebenarnya kerana, dalaman iaitu imannya yang lemah.
"Tetapi orang yang kuat imannya, walaupun terpaksa merangkak untuk bersolat atau sesuatu perintah Allah SWT, maka dia tidak akan meninggalkan tanggungjawab bagi dirinya dan umat Islam itu," ujarnya.
Melebihi malaikat
Firman Allah SWT bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang jika disebut nama Allah gementar lah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Nya, bertambah lah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhan lah mereka bertawakkal, (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. (al-Anfal: 2-4).
Bertepatan dengan firman Allah SWT menerusi ayat tersebut, Syed Muhammad berkata, tahap keimanan manusia boleh melebihi tahap iman para malaikat jika melakukan ibadah dengan ikhlas demi mengharap keredaan daripada Allah SWT.
"Iman boleh bertambah dan berkurang. Lebih banyak kita taat kepada perintah Allah SWT dengan melakukan ibadah semakin bertambah iman kita, walaupun perkara yang mudah seperti mendengar ceramah agama, berfikir kebesaran Allah SWT dan membincangkan mengenai iman.
"Malah, ulama turut berpendapat iman manusia boleh melebihi iman para malaikat yang dikategorikan sebagai malaikat umum, iaitu golongan malaikat selain daripada 10 golongan malaikat yang wajib diketahui oleh umat Islam.
"Sebaliknya jika kita meninggalkan perintah Allah SWT serta melakukan maksiat dan apa yang dilarang maka iman kita akan tercabut. Walaupun hanya dengan melihat aurat wanita secara sengaja, iman boleh berkurang," katanya.
Mengulas lanjut, Syed Muhammad berkata, iman terbahagi kepada tiga bahagian itu iman yang sentiasa meningkat, iman yang tidak berubah-ubah dan iman yang sentiasa meningkat dan menurun.
Kategori iman tersebut katanya, adalah membezakan iman para nabi iaitu sentiasa meningkat, iman para malaikat yang tidak berubah-ubah, dan juga iman manusia biasa yang sentiasa meningkat dan menurun.
Tambahnya, iman juga boleh gugur daripada diri seseorang yang berterusan melakukan maksiat dan perkara yang ditegah oleh Allah SWT serta meninggalkan segala perintah Allah SWT.
"Dengan hanya perkara yang dianggap remeh seperti terdetik dalam hati tanggapan negatif terhadap ajaran Islam boleh merosakkan iman seperti menganggap agama Islam ini kolot, ketinggalan dan tidak sesuai dengan peredaran semasa.
"Apatah lagi perkara zahir yang dilakukan secara terang-terangan yang jelas bertentangan dengan syariat Islam dikhuatiri boleh menyebabkan gugurnya Iman. Kesannya, mengakibatkan agama Islam boleh tergadai," katanya.
Justeru, memperbanyakkan istighfar dan memperbaharui iman dengan mengucap dua kalimah syahadah katanya, merupakan kaedah yang perlu dilakukan oleh umat Islam bagi memelihara iman daripada tersasar.
Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila hantarkan pesanan anda di Hubungi Kami, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.